suria

Si baju kuning...

ORANG sibuk di sana sini tentang kontroversi baju kuning atau apa sahaja yang ada kena mengena dengan kemeja-t kuning yang dikaitkan dengan perhimpunan haram - Bersih 2.0. Di pasar, di Parlimen dan di mana-mana sahaja, mereka yang merasakan diri mereka gagah dengan lantang dan tanpa rasa gentar mempamerkan ‘kekuatan diri’ dengan mencabar arahan polis. Lagi polis larang lagi menjadi-jadi gelagat mereka.

Apakah ini semua satu provokasi jelas kepada arahan polis? Pada kaca mata sesetengah pihak, ya benar, ini adalah satu provokasi. Pada kaca mata sesetengah pihak pula, ini adalah hak dan kebebasan mereka sebagai individu. Mereka mempunyai pandangan dan tafsiran yang berbeza ke atas keluhuran perlembagaan dan undang-undang.

Pada masa yang sama, di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada malam Rabu lalu, berpuluh ribu manusia turut berkumpul dalam satu perhimpunan juga. Mereka ini pun tidak mahu ketinggalan memakai baju dan kemeja-t kuning – tapi bukan kemeja-t perhimpunan Bersih. Sebaliknya mereka adalah penyokong setia pasukan bolasepak kebangsaan – Sang Harimau Malaya. Pendek kata Stadium Nasional benar-benar dipenuhi dengan manusia berbaju dan berkemeja-t kuning – iaitu jersi pasukan bolasepak Malaysia sambil menyorak nama Malaysia. Dua senario yang berbeza tetapi atas warna yang sama – si baju kuning.

Mat Sabu...

Dalam banyak-banyak kenyataan mengenai Perhimpunan Haram Baju Kuning yang mahu diadakan pada 9 Julai nanti, kenyataan Mat Sabu yang paling menarik. Ini kerana ia mempunyai maksud yang tersirat. Semua wartawan yang mengenali Mat Sabu hari ini sebagai Timbalan Presiden PAS adalah Mat Sabu yang sama 20 tahun dulu. Muka dia sama, cara berpakaiannya sama, gaya dia pun sama, senyum dan sindirannya tajam apatah lagi suaranya yang garau itu. Dan ada satu lagi tentang Mat Sabu yang tidak berubah - provokasinya. Mungkin inilah orang yang dicari-cari oleh PAS selama ini untuk memimpin parti itu sebagai seorang panglima perang.

Kelmarin, wartawan penulis, Nurul Ain Mohd Hussain menelefon Mat Sabu untuk mendapatkan reaksi beliau mengenai isu Bersih 2.0. Selain sebagai Timbalan Presiden PAS, Mat Sabu juga adalah Timbalan Pengerusi Bersih 2.0. Nampaknya jawatan sebagai orang nombor dua sejak akhir-akhir ini sinonim dengan Mat Sabu. Beliau menyifatkan Perhimpunan Bersih 2.0 akan memberi manfaat kepada Pakatan Rakyat (PR) kerana mereka mendapat sokongan yang besar daripada rakyat pelbagai kaum di negara ini. Kata Mat Sabu, suasana Perhimpunan Bersih 2.0 tidak sama dengan Perhimpunan Bersih pada 2007.

“Suasananya sudah berbeza, PR telah menggerakkan jentera Bersih di negeri-negeri yang ditadbir oleh kami sejak awal lagi. Media baru seperti blog, portal berita alternatif banyak membantu mempromosikan Perhimpunan Bersih kali ini. Jika dulu, ribuan yang menyertai demonstrasi Bersih 1, tetapi kita jangka, jumlahnya lebih besar pada Bersih 2.0,” katanya kepada Ain.

Beliau berkata, pimpinan PR juga mendapat kerjasama daripada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) tanpa mengira kaum. Menurut Mat Sabu, matlamat mereka adalah mahukan satu sistem pilihan raya yang bersih lagi adil. Perarakan ini penting katanya, “kerana kita yakin pilihan raya umum (PRU) akan diadakan bila-bila masa dari sekarang.”

Dan bagi Mat Sabu, mereka sebenarnya mendapat inspirasi untuk mengadakan Bersih 2.0 hasil kejayaan Perhimpunan Bersih 2007. Katanya, Bersih 2007 merupakan indikator yang jelas kerana keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 telah menafikan majoriti 2/3 Barisan Nasional (BN) di Parlimen dan PR telah menguasai lima negeri. “Kita melihat peluang kita kali ini lebih baik. Bukan sahaja NGO malah rakyat pelbagai kaum dijangka akan menyertai Perhimpunan Bersih 2.0,” tegas Mat Sabu lagi.

Penjelasan Mat Sabu mendorong penulis untuk melihat apa yang sebenarnya tersirat di sebalik kata-katanya itu. Jika Mat Sabu kata, PRU ke-12 telah berjaya menafikan majoriti 2/3 BN di Parlimen dan PR menguasai lima buah negeri, maka tidak timbullah soal pilihan raya tidak bersih. Ini kerana jika tidak bersih dan telus mana mungkin BN kehilangan 2/3 suara di Parlimen dan mana mungkin BN kehilangan kuasa di lima buah negeri.

Oleh yang demikian, apakah isu sebenar Perhimpunan Bersih 2.0 ini? Apa kaitannya dengan isu pilihan raya bersih dan telus? Macam penulis kata tadi, jika PRU ke-12 adalah pilihan raya yang haprak, kotor, tak bersih dan tak telus, PR tak kuasailah lima buah negeri dan begitu banyak kerusi di Parlimen. Mereka cuma tidak dapat menembusi Sabah, Sarawak, Johor dan beberapa buah negeri lagi sahaja untuk ambil alih kerajaan pusat. Jadi sebenarnya perhimpunan yang sedang heboh gila satu negara ini tidak berapa ada kaitan dengan isu pilihan raya bersih.

Ia sebenarnya ada kaitan dengan kebimbangan untuk tidak dapat mempertahankan momentum 2/3 atau mempertahankan negeri-negeri yang baru dikuasai oleh PR. Momentum baru harus dicari. Dan demo jalanan serta kebangkitan yang telah melanda Timur Tengah khususnya di Mesir dijadikan alasan untuk menyemarakkan momentum baru yang sedang dicari itu. Yang membezakannya cuma satu sahaja - di Mesir orang berarak dan sanggup mati di jalanan kerana tidak ada roti dan makanan yang boleh dibeli di kedai dan pasar raya. Dan anak-anak muda tidak ada kerja walaupun berlonggok-longgok keluar universiti saban tahun sedangkan negara kaya dengan minyak dan gas asli.

Di negara kita, tidak berlaku semua itu. Malah, Kedai Rakyat 1Malaysia dengan tawaran harga barangan dapur paling rendah dalam rangkaian kedai runcit baru sahaja dilancarkan. Rakyat ada pilihan. Jika hendak barangan import dan ada standard sikit boleh pilih ke Cold Storage atau pasar raya yang lain. Kalau rasa tak berapa mampu, ada Kedai Rakyat. Kerja, kalau tak ada maka tak tebal lah keluaran The Star setiap hari Sabtu dengan isu bumper Starjobs. Setiap Sabtu beratus pekerjaan diiklankan sehingga akhbar kami terpaksa dicetak beratus muka surat untuk memenuhi permintaan kerja yang berlonggok-longgok. Malah anak-anak memilih kerja kerana kerja terlalu banyak.

Jadi Perhimpunan Haram Baju Kuning sebenarnya ingin mencari apa? Hanya detik dan masa akan menentukannya...

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain