suria

Akta Pengurusan Sisa Pepejal Dilaksana September Ini

KUALA NERANG: Pelaksanaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 atau Akta 672 akan dikuatkuasakan secara rasmi bermula 1 September ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chor Chee Heung berkata jemaah Menteri dua minggu lepas telah meluluskan supaya pengurusan sisa pepejal diuruskan oleh tiga syarikat bagi Semenanjung.

"Bagi Kedah dan Perlis pengurusan sisa pepejal akan dikendalikan oleh syarikat Environment Idaman Sdn Bhd yang mana sudah mempunyai pengalaman lebih 13 tahun dalam bidang ini," katanya kepada pemberita di sini Sabtu.

Beliau berkata syarikat Alam Flora Sdn Bhd akan mengendalikan pengurusan sisa pepejal di negeri-negeri di bahagian tengah Semenanjung manakala Southern Waste Management Sdn Bhd bertanggungjawab di negeri-negeri di selatan Semenanjung.

Chor berkata dengan pengambilalihan pengurusan sisa pepejal, Pihak Berkuasa Temptan (PBT) akan dapat menumpukan perhatian kepada aktiviti seperti pemberian lesen perniagaan, kutipan hasil pintu, penguatkuasaan serta perancangan pembangunan.

"Melalui pendekatan ini, PBT mempunyai lebih banyak masa untuk memberi perhatian kepada perkhidmatan mereka yang lain dan pihak kementerian juga betul-betul mahu melihat lihat prestasi pengurusan sisa pepejal ditingkatkan," katanya.

Beliau berkata kerajaan persekutuan akan bertanggungjawab membayar caj perkhidmatan kepada syarikat-syarikat pengurusan sisa pepejal berkenaan. "Jadi tiada alasan mereka (syarikat pengurusan sisa pepejal) tidak akan dapat bayaran daripada PBT sebab PBT akan bayar kepada kerajaan pusat dan kemudian kami akan bayar kepada syarikat-syarikat," katanya.

Beliau menyampaikan geran tahunan kepada 11 PBT di Kedah, Pulau Pinang dan Perlis yang bernilai lebih RM40 juta sebagai gantian cukai yang dikecualikan terhadap harta-harta kerajaan persekutuan yang diselenggarakan oleh PBT seperti tanah dan bangunan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain