SETIAP ibu bapa pasti mahukan yang terbaik untuk anak-anak, dan begitu juga sebaliknya.
Namun, situasi menjadi agak rumit apabila seorang anak berdepan permintaan ibunya yang meluahkan hasrat untuk berkahwin semula, ketika usia sudah mencecah 70 tahun.
Menerusi satu perkongsian di Threads, wanita tersebut mengakui dia membantah hasrat ibunya, namun pada masa sama merasa tidak layak untuk menghalang keputusan itu.
Keinginan warga emas untuk berkahwin lagi sering didorong oleh rasa kesunyian dan keperluan kepada teman hidup untuk saling menjaga. -Gambar hiasan AI
"Apa reaksi anda apabila mak yang umur 70 tahun cakap nak kahwin lagi?
"Aku tak tahu nak react apa, tapi sejujurnya tak setuju dan rasa sedih sangat.
"Tapi dalam masa yang sama, rasa tak layak nak halang, mana tahu itu kebahagiaan yang dia cari? Tolong bantu apa aku patut buat? Setuju ke tak?" tulisnya meminta pandangan warga maya.
ARTIKEL BERKAITAN: Ibu larang anak tayang bahagia lepas kahwin, ibarat dulu hidup terseksa bawah jagaan mak ayah!
ARTIKEL BERKAITAN: Anak stres, majlis nikah dah dekat ibu desak tukar tarikh sebab ada makcik tak dapat hadir - “Dengan mak ni tak kan menang”
Berkongsi lebih lanjut, wanita berkenaan berkata dia agak terkejut dan tidak menyangka ibunya terdetik rasa mahu berkahwin semula memandangkan tidak pernah rapat dengan mana-mana lelaki sepanjang bergelar ibu tunggal.
"Untuk pengetahuan, mak bukan jenis yang bercinta tapi ada orang yang galakkan dia kahwin dan kenen-kenenkan dia.
"Tapi mak tak confirm lagi nak kahwin ke tak. Dia cakap tunggu nak berjumpa pihak lelaki dulu macam mana.
"Dia cuba yakinkan (kami) yang bakal (suami) itu sihat. Entahlah harap yang baik-baik saja untuk mak," luahnya lagi.
Seorang anak terkejut apabila ibunya yang berusia 70 tahun menyuarakan hasrat untuk berkahwin semula.
Wanita itu berasa sedih dan tidak bersetuju, tetapi tidak mahu menghalang kebahagiaan ibunya.
Ibunya masih belum membuat keputusan muktamad mengenai hasrat itu.
Netizen menasihatkan agar mereka berbincang.
Ada juga berpendapat ibunya sudah agak tua untuk berkahwin semula.
Di ruangan komen, pelbagai reaksi dilontarkan oleh warga maya.
Sebahagiannya menyarankan wanita berkenaan berbincang dengan ibunya, namun sebahagian lagi memintanya memberi ruang kepada si ibu untuk mempunyai peneman di usia tua.

Sebahagian daripada komen netizen.
"Okay je selagi bakal ayah tiri bertanggungjawab dan jaga solat. Mak pun sunyi tu, perlu peneman hidup.
"Siasat siapa lelaki tu. Banyak jadi kes yang dah tua-tua ni nak kahwin sebab mahu menumpang saja.
"Dia perlukan kawan, bukan suami. Lagipun, 70 tahun agak tua untuk jadi isteri, kecuali jika bakal suami itu jenis provider," komen netizen.


