HANTARAN bekas pelajar Sekolah Berasrama Penuh (SBP) yang tidak mahu anak-anaknya mengikuti pengajian di institusi sama mengundang pelbagai reaksi netizen.
Tambahan pula dia mengakui sudah memenuhi definisi success story menerusi pencapaian akademik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan kejayaan memperoleh biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sehinggalah bergelar doktor falsafah (PhD) sebelum usia 40 tahun.
"Saya bekas SBP premier, sekolah lelaki. 10A SPM, biasiswa JPA, belajar luar negara dan PhD sebelum 40 tahun.
"Jujur saya cakap, saya tak mahu anak lelaki saya masuk SBP. Bukan sebab buruk tapi sebab saya tahu harga sebenar yang perlu dibayar oleh anak umur 13 tahun.

Setiap ibu bapa mahu beri pendidikan yang terbaik untuk anak-anak mereka. -Gambar hiasan AI
"Emosi, psikologi dan jarak dengan keluarga," ujarnya di Thread.
Bagi lelaki ini, terdapat banyak laluan akademik yang boleh ditelurusi anak-anak tanpa perlu mengorbankan masa bersama keluarga seperti yang pernah dialaminya semasa zaman persekolahan.
Malah katanya, pendekatan tersebut dilihat lebih selamat termasuk aspek pembentukan emosi kanak-kanak.
"SBP sesuai untuk sesetengah anak tapi bukan default untuk semua," tambahnya sambil menyatakan dia bukanlah individu yang anti SBP.
ARTIKEL BERKAITAN: Wanita resah ada anak kurang cerdik, tak warisi kepandaian mak ayah - “Saya dan suami pelajar cemerlang SBP”
ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar SBP menangis teresak-esak, rayu ibu nak berhenti sekolah... Pengetua hanya cadang ambil cuti dua minggu
Namun baginya, pandangan tersebut adalah refleksi sebagai seorang bapa yang pernah berada di dalam sistem pendidikan berkenaan.
Pandangannya itu mengundang pelbagai reaksi netizen termasuk daripada bekas pelajar SBP lain yang tampil dengan perspektif berbeza.
Menurut pelayar ini, SBP lebih berperanan sebagai asas perubahan hidup, khususnya bagi pelajar daripada keluarga serba kekurangan.
- Bekas pelajar SBP enggan anak ikut laluan sama walaupun bergelar ‘success story’.
- Akui 10A SPM, biasiswa JPA, PhD sebelum 40 tahun.
- Dakwa SBP beri tekanan emosi, psikologi dan jauh dari keluarga.
- Bekas pelajar lain kata SBP ubah hidup golongan miskin.
- Netizen bahas definisi kejayaan dan peranan sebenar SBP.
Dia turut berkongsi latar belakang kehidupannya yang dibesarkan dalam kemiskinan sebelum diterima masuk ke SBP, sekali gus membuka peluang untuk memperbaiki masa depan melalui pendidikan, disiplin dan persekitaran yang lebih tersusun.
"Saya juga produk SBP, tapi SBP adalah asas perubahan kehidupan saya. Budak kampung serba kekurangan, ayam hanya boleh dimakan setahun sekali.
"Apabila masuk SBP ada katil, tilam dan loker sendiri... kipas pun ada," tambahnya yang mengakui kehidupannya berubah disebabkan peluang belajar tersebut.

Reaksi warga maya.
Walau bagaimanapun, dia turut menyuarakan pendirian tidak mahu anaknya mengikuti laluan sama kerana beranggapan peluang pendidikan itu seharusnya diberikan kepada pelajar lain yang benar-benar memerlukan, sepertimana dia suatu ketika dahulu.
"Tapi saya tak mahu hantar anak ke SBP. Sebab utama ialah saya nak slot SBP itu diisi oleh mereka yang seperti saya dulu," jelasnya.
Perkongsian itu mencetuskan perbincangan lebih luas dalam kalangan netizen mengenai definisi kejayaan, peranan SBP dalam mobiliti sosial serta mentaliti bekas pelajarnya yang sering dikaitkan dengan kecemerlangan akademik semata-mata.


