suria

Kada Perluas Program Tanaman Padi Ala Mini Estet

BACHOK: Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) akan memperluaskan program tanaman padi menerusi konsep ala mini estet di kesemua kawasan pentadbirannya di negeri ini bagi meningkatkan pendapatan petani di samping mengurangkan pergantungan bahan makanan import.

Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa berkata ini selaras dengan matlamat Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menjayakan slogan "Pertanian Adalah Suatu Perniagaan" dan usaha Kada melahirkan petani berskala komersial seperti bidang perniagaan lain.

"Kita akan memperluaskan program tanaman padi di kawasan Kada melalui konsep ala mini estet yang nyata menghasilkan pendapatan dan pulangan lumayan kepada petani dan meningkatkan pengeluaran padi negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis menabur benih padi musim 1/2011 di Bendang Permatang Pusu, di sini Selasa.

Beliau berkata menerusi konsep ala mini estet itu, ada sesetengah petani mampu menghasilkan padi sehingga sembilan metrik tan sehektar berbanding sebelum ini hanya antara tiga dan empat tan sahaja.

Ketika ini separuh atau 6,000 hektar kawasan Kada diusahakan tanaman padi secara mini estet dan Ladang Merdeka membabitkan lebih 15,000 petani.

"Usaha (tanaman secara mini estet) ini bukan sahaja mampu menambah pendapatan mereka, tetapi juga memudahkan kerajaan menyusun jadual tanaman dan membantu mengawal musuh tanaman," katanya.- BERNAMA

Artikel Lain