suria

Lagi Bekas Pengarah Kosmo Technology Didakwa

KUALA LUMPUR: Seorang lagi bekas pengarah syarikat pelaburan, Kosmo Technology Industrial Berhad dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas lapan pertuduhan mengemukakan pernyataan palsu kepada Bursa Malaysia Securities Berhad.

Norhamzah Nordin, 46, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Rosenani Abdul Rahman pada Isnin.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut dengan cara mengemukakan satu pernyataan palsu dalam penyata pendapatan bagi tahun 2006 dan 2007 syarikat itu kepada Bursa Malaysia Securities Berhad di Exchange Square, Bukit Kewangan di sini antara 2006 dan 2008.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 122B (a)(bb) dibaca bersama Seksyen 122(1) Akta Perindustrian Sekuriti 1983 (Akta 280) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 122B akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM3 juta atau penjara sehingga 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Sekuriti, K. Mageswary menawarkan jaminan sebanyak RM500,000 atas alasan kesalahan yang dilakukan adalah serius dan melibatkan penipuan terhadap pelabur-pelabur.

Peguam Feisal Mustapha yang mewakili tertuduh merayu agar mahkamah mengurangkan jumlah tersebut kerana isteri tertuduh telah dimasukkan ke hospital kerana keguguran di Indonesia.

"Tertuduh juga baru pulang ke tanah air pada malam semalam untuk menghadapi pertuduhan terhadapnya," tambahnya.

Rosenani setelah mempertimbangkan rayuan tertuduh, menetapkan jaminan pada jumlah RM200,000 dengan dua penjamin dengan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah pada tarikh sebutan semula kes.

Kes akan disebut semula pada 22 Jun ini untuk pihak pendakwaan membuat permohonan agar tertuduh dibicarakan bersama dengan seorang lagi bekas pengarah, Mohd Azham Mohd Noor yang didakwa melakukan kesalahan sama.

Mohd Azham, 46, didakwa pada 26 Mei lalu bersama dengan bekas pengurus akaun syarikat berkenaan, Lim Hai Loon, 41, yang didakwa bersubahat melakukan kesalahan tersebut.

Artikel Lain