suria

1MDB Tawar 500 Biasiswa Kepada Pelajar SPM Yang Cemerlang

KUALA LUMPUR: 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan menawarkan 500 biasiswa kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperolehi 8A+ untuk melanjutkan pelajaran di institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan institut pengajian tinggi swasta (IPTS) tempatan, tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata 300 bantuan tersebut akan diberikan kepada bumiputera manakala 200 lagi akan diberi kepada bukan bumiputera.

Katanya keutamaan biasiswa tersebut akan diberikan kepada pemohon-pemohon 8A+ yang gagal mendapatkan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Bagaimanapun, kelonggaran khas juga akan diberikan kepada pemohon bumiputera di Sabah dan Sarawak yang mana mereka yang memperolehi 6A+ dan 5A+ akan dipertimbang dengan mengambil kira pendapatan ibu bapa dan kawasan persekolahan mereka, katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas mempengerusikan mesyuarat biasiswa 1MDB bersama dengan wakil-wakil parti komponen Barisan Nasional di Bangunan Parlimen di sini, Isnin. "Hanya untuk mereka sahaja kita bersetuju melonggarkan syarat akademik. Bumiputera di Semenanjung kena comply to pre-conditions, iaitu akademik dan pendapatan ibu bapa," katanya.

Katanya mereka yang telah menerima tawaran biasiswa dari tempat lain juga tidak akan dipertimbangkan.

Mohamed Nazri berkata bagi pengajian di IPTA, pelajar akan menerima RM7,500 setahun untuk kursus kritikal dan tidak kritikal manakala pelajar yang ditawarkan pengajian di IPTS akan menerima RM15,000 untuk mengikuti kursus kritikal dan RM7,500 untuk kursus tidak kritikal.

Katanya JPA akan mengadakan mesyuarat susulan esok bagi menghalusi nama-nama yang telah disenarai pendek bagi pembahagian biasiswa tersebut sementara senarai terakhir akan dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum diumumkan.

Sementara itu, Mohamed Nazri berkata kerajaan sedang dalam proses mengambil tindakan undang-undang terhadap 145 penerima biasiswa JPA yang gagal kembali berkhidmat di tanah air antara tahun 2000 hingga 31 Mei tahun ini, manakala 195 kes telah diambil tindakan.

Katanya 160 kes pula telah selesai iaitu penerima biasiswa telah kembali untuk berkhidmat selepas notis dikeluarkan ataupun sudah mulai buat bayaran ansuran atau telah selesai membayar biasiswa tersebut.

Katanya majoriti besar penerima biasiswa JPA yang ingkar syarat adalah pelajar bidang perubatan dan kejuruteraan yang mengikuti pengajian di United Kingdom, Ireland dan Amerika Syarikat.

Bagi 145 kes yang aktif, 97 adalah dalam bidang perubatan, 26 kejuruteraan, empat kimia, tiga pergigian, enam dalam perakaunan, dua undang-undang, seorang dalam pentadbiran perniagaan dan lain-lain seramai empat orang.

"Nampaknya kita kena review balik dasar pembiayaan JPA kita dan mengambil kira perkara-perkara ini," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain