suria

Anggota RELA Antara 26 Ditahan Berjudi

GEORGE TOWN: Seorang anggota Rela adalah antara 26 lelaki yang ditahan di 14 buah premis perjudian berkomputer haram di sekitar George Town, Jumaat lalu.

Pegawai Turus Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Negeri, Asisten Supritendan Sayuti Harun berkata 13 orang daripada mereka adalah penjaga premis pusat tersebut manakala 13 lagi merupakan pelanggan.

Mereka berusia antara 21 dan 40 tahun ditahan dalam operasi yang bermula 4 petang hingga lewat malam.

Beliau berkata polis turut merampas 198 buah komputer dan wang tunai sebanyak RM6,880.

"Siasatan awal mendapati premis-premis ini menjalankan perniagaan kafe internet bagi mengaburi kegiatan perjudian haram yang dilakukan dan dipercayai menawarkan perkhidmatan selama 24 jam dengan pertaruhan serendah RM1," kata Sayuti.

Beliau berkata kesemua yang ditahan itu direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan 1998. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain