suria

Anggota Kabinet Diundang Sertai Program Jom Ronda

KANGAR: Program Jom Ronda yang bermula bulan ini turut mengundang penyertaan anggota Jemaah Menteri dan pemimpin tertentu untuk bersama-sama para anggota Rukun Tetangga dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) dalam operasi cegah jenayah.

Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Datuk Azman Amin Hassan berkata selain Menteri Kabinet, program itu akan turut disertai oleh anggota polis, Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Beliau berkata jabatan itu masih menunggu maklum balas daripada anggota-anggota Kabinet itu setelah cadangan berkenaan dikemukakan kepada Jemaah Menteri baru-baru ini.

Azman Amin, yang berada di Perlis kerana menghadiri sambutan Minggu Perpaduan peringkat negeri hari ini, yakin anggota Jemaah Menteri akan berusaha untuk meluangkan masa menyertai program itu.

Sehingga Mei lalu, kata beliau 5,292 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) didaftarkan manakala 2,517 SRS diwujudkan dengan 140,000 anggota di seluruh negara. - BERNAMA

Artikel Lain