suria

Kilang Perabot Di Juru Estate Musnah Dalam Kebakaran

BUKIT MERTAJAM: Sebuah kilang membuat perabot, Packma Trading, mengalami kerugian ratusan ribu ringgit selepas premisnya yang terletak di Juru Estate, dekat sini musnah dalam kebakaran malam semalam.

Ketua Operasi dari Balai Bomba Perai A’azelan Hassan berkata kebakaran yang berlaku kira-kira 10.40 malam itu disedari pekerja yang berada di asrama bersebelahan kilang dan bertindak menghubungi bomba.

Katanya 25 anggota dan dua jentera dari Balai Bomba Perai serta sebuah jentera dari Balai Bomba Bandar Perda bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan.

"Ketika kita sampai, kilang yang terletak di kawasan perumahan itu sudah pun 60 peratus terbakar dan pihak bomba dengan bantuan bomba sukarela berjaya mengawal api daripada merebak ke kawasan berhampiran dalam masa 16 minit," katanya kepada pemberita di sini Sabtu.

A'azelan berkata kebakaran dipercayai bermula dari bahagian belakang kilang dan merebak ke bahagian lain yang memuatkan bahan mentah berupa kayu serta mesin yang digunakan untuk membuat perabot.

"Kesemua 20 pekerja yang berada di asrama kilang itu berjaya menyelamatkan diri dan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Beliau berkata siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran dan jumlah kerugian. - BERNAMA

Artikel Lain