suria

Junaidy: 9 Pelajar Malaysia Paling Hampir Dengan Kawah Timbang Selamat

PETALING JAYA: Hanya sembilan pelajar Malaysia yang berada pada kedudukan paling hampir dengan Kawah Timbang, kawasan dataran tinggi Gunung Berapi Dieng, Jawa Tengah yang dikesan mengeluarkan gas beracun karbon dioksida (CO2) sejak beberapa hari lalu.

Menurut Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) Indonesia, Datuk Paduka Dr Junaidy Abu Bakar, semua pelajar berkenaan berada di Wonosobo, Salatiga yang terletak kira-kira 70 kilometer dari lokasi terbabit dan mereka telah dikenal pasti.

Tambah beliau, pihaknya telah mengambil langkah-langkah keselamatan yang sewajarnya untuk memindahkan pelajar tersebut, jika pihak berkuasa Indonesia mengeluarkan amaran.

“Sehingga kini, semua masih dalam keadaan berjaga-jaga dan taraf gas yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa juga masih dalam keadaan terkawal,” katanya kepada mStar Online di sini, Jumaat.

Jarak Kawah Timbang yang dikesan mula mengeluarkan gas beracun yang berkepekatan tinggi itu sejak empat hari lalu dengan Solo ialah 136 kilometer.

Pihak berkuasa Indonesia juga dilaporkan telah mengarahkan agar penduduk di kawasan sekitar 1 kilometer daripada Kawah Timbang untuk berpindah.

Junaidy memberitahu, pihaknya telah bersiap sedia dengan pengangkutan selain mempunyai banyak penempatan di Solo, yang boleh digunakan oleh pelajar tersebut.

Secara keseluruhan, beliau berkata, terdapat 65 pelajar Malaysia dari Pesantren Sirajul Mukhlasin, Secang dan Magelang yang terletak tidak jauh dari Solo.

Bagaimanapun, katanya, mereka tidak terjejas dengan penyebaran gas beracun terbabit.

Artikel Lain