suria

Ulama Mesti Mendahului Dalam Mengulas Isu Agama - Tuan Ibrahim

KUALA LUMPUR: Seorang tokoh PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pada Ahad, berkata ulama perlu mendahului dalam mengulas isu-isu berkaitan hukum dan syariat Islam.

Bekas naib presiden Pas itu berkata ulama harus memperbetulkan kedudukan pada masa ini di mana mereka dilihat ketinggalan dalam memberi ulasan yang kemungkinan boleh mengelirukan masyarakat.

"Kalau orang yang tidak ahli (pakar) bercakap mengenai perkara yang mereka sendiri tidak berapa faham...susah, kerana ia boleh menjejaskan fahaman masyarakat," katanya kepada Bernama pada Muktamar Pas ke 57 di Taman Melewar di sini.

Beliau berkata banyak isu dalam negara sebelum ini seperti penggunaan kalimah Allah, Al-Kitab dan lain-lain dilihat ulama lambat memberikan komen.

Ditanya mengenai keputusan pemilihan parti itu semalam, dalam mana beliau gagal merebut jawatan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya Pas Pahang berkata beliau redha dengan keputusan itu tetapi menegaskan bahawa ini tidak bermakna berakhirnya perjuangan beliau dalam parti.

Pada pertandingan tiga penjuru itu, Mohamad Sabu terpilih sebagai Timbalan Presiden baru.

Juga tewas dalam pertandingan itu penyandang tiga penggal Nasharuddin Mat Isa. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain