suria

Mahkamah Tolak Saman Adam Kadir

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, menolak dua saman yang difailkan oleh bekas pengerusi bukan eksekutif Pos Malaysia Berhad (PMB), Tan Sri Adam Kadir berhubung pelanggaran kontrak jawatan beliau.

Pesuruhjaya Kehakiman, Dr Prasad Sandosham Abraham membuat keputusan itu selepas berpendapat Adam selaku plaintif telah menamakan defendan yang salah dalam saman tersebut.

Ujar beliau, Adam menamakan Menteri Kewangan selaku defendan, sedangkan pihak yang sepatutnya adalah Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD), yang merupakan pemegang saham utama PMB.

Selain itu, Prasad juga berkata pelantikan Adam tidak dibuat secara kontrak, sebaliknya menerusi surat lantikan oleh MKD yang melaksanakan tugasnya mengikut Akta Kewangan Perbadanan 1957.

"Lantikan tersebut dibuat menerusi surat lantikan, dan cara lantikan ini juga dibuat sama semasa pelantikan bekas pengerusi PMB, Tan Sri Abdul Halim Ali," ujar beliau yang menolak saman itu dengan kos.

Adam memfailkan saman itu pada 22 Oktober tahun lepas, terhadap terhadap Menteri Kewangan dan kerajaan kerana didakwa telah memungkiri kontrak mengenai jawatan pengerusinya.

Beliau menuntut deklarasi bahawa penamatan atau pemecatannya sebagai pengerusi bukan eksekutif syarikat itu adalah tidak sah dan terbatal.

Pada 4 November 2010, Adam juga memfailkan saman kedua terhadap pengarah urusan Khazanah Nasional Berhad Tan Sri Azman Mokhtar, selaku pemegang saham terbesar dalam PMB.

Beliau mendakwa akibat campur tangan Azman, kerajaan telah membuat keputusan membatalkan kontrak pelantikannya melalui dua pucuk surat yang ditandatangani Menteri Kewangan bertarikh 23 Mei dan 26 Mei 2008, sedangkan tempoh masa pelantikan beliau akan berakhir pada 28 Februari 2009.

Sebelum itu, Adam dilantik sebagai pengarah dan pengerusi bukan eksekutif PMB bagi tempoh dua tahun mulai 1 Mac 2005 menerusi surat pelantikan bertarikh 17 Februari 2005 yang ditandatangani oleh Menteri Kewangan.

Pada prosiding itu, Adam diwakili oleh peguam Azhana Mohd Khairudin yang hadir bagi pihak Mohamed Hanipa Maidin manakala Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan hadir untuk kerajaan dan Menteri Kewangan.

Peguam Nitin Nadkarni pula hadir bagi pihak Azman.

Artikel Lain