suria

Akauntan Negara Malaysia Nafi Tawar Khidmat Proses Tuntutan Wang Tak Dituntut

KUALA LUMPUR: Akauntan Negara Malaysia tidak pernah menghantar sebarang e-mel atau sebarang makluman kepada individu dan syarikat untuk menawarkan perkhidmatan memproses tuntutan Wang Tak Dituntut.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan pada Isnin menjelaskan bahawa Akauntan Negara Malaysia juga tidak pernah melantik mana-mana individu atau syarikat sebagai ejen dan tidak mengenakan sebarang yuran atau caj perkhidmatan untuk menguruskan tuntutan bayaran balik wang berkenaan.

"Maklumat berkenaan Wang Tak Dituntut yang telah diserahkan kepada Jabatan Akauntan Negara Malaysia diwartakan pada setiap tahun dan salinan pewartaan tersebut boleh didapati di Perpustakaan Negara untuk semakan umum," demikian menurut kenyataan itu.

Oleh itu, orang awam dinasihatkan supaya berhati-hati dan tidak terpengaruh dengan e-mel atau surat makluman yang mengaitkan Akauntan Negara Malaysia sebagai pihak yang menawarkan perkhidmatan untuk membantu memproses tuntutan wang itu dengan mengenakan kadar yuran dan caj perkhidmatan tertentu.

"Wang Tak Dituntut yang diserahkan kepada Pendaftar boleh dituntut pada bila-bila masa oleh pihak yang mempunyai hak ke atas wang tersebut," kata Kementerian Kewangan dalam kenyataan itu.

Permohonan tuntutan bayaran balik wang itu atau sebarang kemusykilan hendaklah dikemukakan terus kepada Jabatan Akauntan Negara Malaysia atau jabatan negeri dan cawangan berdekatan.

Wang Tak Dituntut ialah wang yang kena dibayar di sisi undang-undang kepada empunya tetapi tidak dibayar dalam satu tempoh masa tidak kurang dari satu tahun.

Wang itu merujuk kepada wang dalam kredit sesuatu akaun yang telah tidak dikendalikan oleh empunya dengan apa cara sekalipun dalam satu tempoh masa tidak kurang dari tujuh tahun. Ia juga bermaksud wang dalam kredit sesuatu akaun dagangan yang telah tidak dikendalikan melalui apa-apa urus niaga dalam satu tempoh masa tidak kurang dari dua tahun. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain