suria

Wanita Maut, Suami Cedera Parah Selepas Motosikal Dirempuh Kereta

BUKIT MERTAJAM: Seorang wanita maut manakala suaminya parah apabila motosikal yang dinaiki mereka dilanggar sebuah kereta sebelum ia terjatuh dan dirempuh pula oleh sebuah pacuan empat roda di kilometer 147 Lebuh raya Utara Selatan (Plus) arah utara berhampiran Plaza Tol Juru di sini Isnin.

Jurucakap polis berkata kejadian berlaku pada pukul 3 petang dan ketika itu laluan di lebuh raya berkenaan agak sibuk ekoran cuti sekolah.

Katanya mangsa yang maut Ong Saw Ping,36, dan suaminya Tan Ee Siang, 37, berasal dari Taman KIendi, Simpang Ampat dalam perjalanan ke tempat kerja di Perai.

"Semasa kejadian mangsa dan suaminya berada di lorong kiri sebelum dilanggar sebuah kereta jenis Proton Persona dari arah belakang sehingga tercampak ke lorong kanan lebuh raya berkenaan.

"Pacuan empat roda yang dipandu seorang wanita berkenaan gagal mengelak lalu melanggar mangsa sehingga menyebabkan Ong mati di tempat kejadian ekoran cedera parah di kepala," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Jurucakap polis berkata suami mangsa yang cedera parah di hantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan lanjut dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Katanya pemandu kereta jenis Proton Persona yang melanggar pasangan suami isteri berkenaan melarikan diri sebaik kejadian itu dan polis sedang berusaha mengesan mereka bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat menurut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain