suria

Teoh Dan Ketuanya Disyaki Menipu - Saksi

KUALA LUMPUR: Teoh Beng Hock dan anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah disyaki menipu kerajaan dengan menyalah guna syarikat bumiputera bagi mendapatkan projek. Selain Teoh dan ketuanya itu, kontraktor Lee Wai Weng turut disyaki melakukan kesalahan sama oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata pegawai siasatan bahagian pemeriksaan dan perundingan SPRM Ahmad Shafik Abdul Rahman.

Beliau berkata ketiga-tiga individu disyaki melakukan kesalahan tersebut namun SPRM tidak dapat meneruskan siasatan berikutan kematian Teoh dan keadaan ketika itu. "Saya ada berbincang dengan pihak atasan (untuk melanjutkan siasatan atas pertuduhan menipu) tetapi keadaan ketika itu menyebabkan kita (SPRM) tidak boleh menyiasat lebih lanjut sebab kita tidak akan dapat keterangan lain seperti keterangan Teoh," katanya pada prosiding di depan Suruhanjaya Siasatan kematian Teoh pada Rabu. Ahmad Shafik berkata pada mulanya siasatan hanya memfokuskan kepada tuntutan palsu mengikut Seksyen 18 Akta SPRM bagi 80 projek di Seri Kembangan dan Kuala Kubu Baharu, namun kemudian didapati ada keterangan lain yang menjurus kepada kesalahan menipu.

Beliau berkata berdasarkan keterangan beberapa individu, sembilan syarikat bumiputera didapati telah digunakan Lee bagi mendapatkan projek kelas F dan kecil.

"Pemilik syarikat telah menafikan membuat projek atau program yang dinyatakan di dalam permohonan peruntukan Adun. Mereka hanya beri pinjam nama syarikat kepada Lee kerana mereka dijanjikan lima hingga 10 peratus mengikut saiz projek. "Syarikat ini ditubuh untuk menjalankan program untuk peruntukan Adun ini, tetapi ada juga jalankan projek lain. Terdapat empat syarikat yang diwujudkan untuk program peruntukan Adun, yang mana kewujudan syarikat ini diminta oleh Lee sendiri, dan beliau menguruskannya," katanya.

Ahmad Shafik berkata bagi lesen kelas F, antara syarat yang ditetapkan ialah syarikat berkenaan mestilah milik bumiputera, namun apa yang sebenarnya berlaku adalah bukan bumiputera yang mendapat projek kerajaan. "Saya ada berbincang perkara ini dengan pegawai atasan, jika perkara ini berlaku... bagi kesalahan tipu, ia seolah-olah sudah cukup, iaitu kontraktor bukan bumiputera dalam pengetahuan dia bahawa projek itu untuk bumiputera sahaja, tetapi dia telah menggunakan lesen dari bumiputera untuk mendapatkan projek dari kerajaan.

"Seolah-olah kerajaan telah ditipu dengan apa yang dilakukan oleh bukan bumiputera. Kes itupun tidak disiasat sebab masa itu saya hanya fokus pada tuntutan palsu. Bagi kesalahan lain, ia memerlukan arahan daripada pihak atasan atau keterangan terzahir seperti penipuan dilakukan," katanya.

Ahmad Shafik juga berkata Teoh ada memberitahu telah berbincang dengan Anggota Majlis Perbandaran Kajang Tan Boon Wah mengenai harga bendera, dan Teoh mendapat satu bendera pada harga 60 sen, namun dijual RM1.60. Siasatan beliau juga mendapati terdapat empat invois bagi projek tertentu di dalam komputer riba Teoh (menggunakan nama syarikat bumiputera) dan menurut Teoh, ia diterima daripada Lee menerusi e-mel. Sementara itu, seorang jurujual Mohd Harun Abdullah berkata beliau dan Lee bersahabat baik sejak 10 tahun lalu dan terlibat dengan penubuhan tiga syarikat yang didaftarkan atas nama isteri, adik ipar dan birasnya bagi mendapatkan projek DAP.

Beliau berkata penubuhan tiga syarikat itu dibuat atas saranan Lee, dan namanya tidak dapat didaftar kerana telah disenarai hitam oleh bank.

Mohd Harun berkata pemilik ketiga-tiga syarikat itu tidak melakukan sebarang urusan dan mereka hanya menandatangani cek kosong bagi membuat pembayaran kepada DAP kerana semua urusan projek dilakukan oleh Lee.

"Isteri, adik ipar dan biras saya akan membuka akaun bank, tetapi selepas itu, semuanya akan dikawal Lee," kata beliau sambil menambah urusan antaranya dengan Lee terhenti selepas disiasat SPRM.

Beliau berkata projek yang diurus tiga syarikat berkenaan hanya membabitkan program mesra rakyat, dan pemiliknya diberi imbuhan antara lima dan 10 peratus, bergantung kepada kontrak.

Pada prosiding sebelah pagi, seorang Anggota Majlis Perbandaran Kajang Lee Kee Hiong berkata Teoh adalah seorang yang jujur dan berintegriti, malah dianggap sebagai setiausaha politik terbaik pernah ditemuinya. Teoh, 30, setiausaha politik Ean, ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor pada 16 Julai 2009 selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Suruhanjaya itu dipengerusikan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen dan turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T.S. Nathan, Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh dan Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Januari lepas, antara lain menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner, pada akhir siasatannya, membuat keputusan terbuka.

Prosiding disambung esok dan Ean dijangka memberi keterangan. - BERNAMA

Artikel Lain