suria

Warga Pakistan Bebas Tuduhan Edar Dadah

SHAH ALAM: Seorang warga Pakistan tersenyum apabila Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, yang melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan mengedar dadah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu terhadap Taj Wali Ahmad Khan, 31, yang berasal dari Peshawar tanpa memanggil dia untuk membela diri atas pertuduhan tersebut selepas berpuas hati pihak pendakwaan gagal menimbulkan prima facie terhadap pertuduhan.

Pada penghakimannya, Akhtar berkata, berlaku kekurangan dalam penyiasatan oleh pegawai penyiasat apabila tidak melakukan siasatan terhadap dakwaan Taj Wali yang mengatakan beg berisi dadah itu sebenarnya diberikan oleh seorang rakan yang dikenalikanya sejak bersekolah di negaranya.

Sedangkan, perkara tersebut telah dinyatakan oleh lelaki bertubuh sasa itu kepada pegawai polis yang merakamkan percakapan beramarannya.

Pada penghakimannya, Akhtar juga menolak hujahan peguam Karpal Singh yang mempersoalkan kemahiran bahasa Inggeris pegawai kimia yang melakukan ujian terhadap dadah yang disembunyikan di dalam jaket yang di dalam beg galas tersebut.

Ahli kimia terbabit pada keterangannya mengakui beliau memperoleh gred yang agak rendah dalam subjek terbabit.

"Saya berpuas hari bahawa ahli kimia terbabit mempunyai kelayakan dalam membuat analisa terhadap dadah-daah tersebut dan prosedur yang digunakannya juga mematuhi piawaian antarabangsa yang ditetapkan," katanya.

Taj Wali yang tidak mempunyai pekerjaan di kampung asalnya didakwa mengedar 1231.7 gram heroin dan 67.7 gram monoacetylmorphines pada pukul 9.50 malam, 11 Februari 2010 di kawasan tuntutan bagasi G, balai ketibaan, aras 3, KLIA, Sepang, dekat sini.

Dia yang semasa itu tiba di negara ini menerusi penerbangan dari Doha, didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan melibatkan empat saksi pendakwaan, dan selain Karpal, Taj Wali yang masih bujang turut diwakili oleh peguam Lim Chi Chau.

Artikel Lain