suria

Duda 63 Tahun Dari Malaysia Ditangkap Bersama 11kg Ketamin Di Tiruchi

CHENNAI: Seorang warganegara Malaysia berusia 63 tahun ditangkap di Lapangan Terbang Tiruchi pada pagi Ahad selepas para pegawai kastam menjumpai ketamin seberat 11kg tersembunyi di dalam bagasinya.

Para penyiasat mengesyaki lelaki, yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dari Kuala Lumpur itu, diupah satu sindiket pengedar dadah supaya menyeludup dadah berkenaan dari Selatan India ke Malaysia.

"Kami memang membuat pemantauan ketat terhadap para penumpang yang hendak ke Malaysia berikutan meningkatnya kes penyeludupan dadah.

"Apabila pegawai kami mengimbas bagasinya, kami mengesan beberapa beg tersembunyi di dalamnya mengandungi ketamin yang diisi di dalam paket politena dan dibungkus dengan pakaiannya," kata D. Shivasankaran, Pesuruhjaya Tambahan Kastam Tiruchi kepada Bernama Isnin.

Suspek, seorang duda, tiba di Chennai bulan lepas dan ditahan ketika hendak menaiki pesawat syarikat penerbangan tambang murah ke Malaysia.

Shivasankaran berkata ketika disoal siasat, suspek enggan memberi keterangan tentang dirinya dan hanya berkata dia ke India sebagai pelancong dan diminta seseorang yang tidak dikenalinya supaya membawa beg berkenaan ke Kuala Lumpur.

"Kami percaya perkara ini telah dirancang di Malaysia dan sindiket terbabit secara berhati-hati telah memilihnya untuk menjalankan tugas itu. Dia hanya menjadi pembawanya," kata Shivasankaran. Suspek kini ditahan di penjara Tiruchi.- BERNAMA

Artikel Lain