suria

Sarawak: MCA Ucap Tahniah Pada BN, Pandang Serius Kekalahan SUPP

PETALING JAYA: Kejayaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10 semalam membuktikan rakyat Sarawak yakin terhadap kepimpinan BN dan gagasan 1Malaysia yang dipelopori Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata ini merupakan mandat daripada rakyat dan parti itu akan terus menyokong usaha transformasi kerajaan bagi menjaga kepentingan mereka (rakyat).

"Tahniah dan syabas pada BN dan juga kepada Perdana Menteri di atas kejayaan mengekalkan majoriti dua pertiga," katanya kepada pemberita selepas menutup Konvensyen Panel Penasihat Klinik Kesihatan Peringkat Kebangsaan kelima di sini, Ahad.

Pada pilihan raya itu, BN berjaya mengekalkan kuasa dengan majoriti dua pertiga setelah menang 55 daripada 71 kerusi yang dipertandingkan.

Bagaimanapun, Liow berkata MCA memandang serius kekalahan parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) terutama di kawasan bandar, walaupun BN mendapat sokongan penuh masyarakat luar bandar.

SUPP kehilangan banyak kerusi kepada DAP dan hanya menang enam daripada 19 kerusi.

Beliau berkata kekalahan SUPP itu memberi isyarat kuat kepada MCA untuk mengambil tindakan drastik dengan melakukan transformasi dalam parti agar tidak kehilangan sokongan pengundi kaum Cina di kawasan bandar.

"Isyarat itu amat jelas. Justeru, kita mengambil berat keadaan ini dengan melihat berkurangnya sokongan kaum Cina di kawasan bandar apabila banyak kerusi dimenangi oleh pihak pembangkang.

"Perkara ini juga perlu diambil iktibar oleh MCA dan Gerakan di Semenanjung supaya ada satu tindakan transformasi dalam parti bagi mendapatkan kembali keyakinan serta undi kaum Cina bagi mengatasi masalah ini," katanya.

Mengaku sedih dengan situasi itu, Menteri Kesihatan tersebut berkata keputusan Pilihan Raya Sarawak juga mengurangkan wakil kerajaan bagi kaum Cina dan ini memberi kesan kepada mereka yang tinggal di kawasan bandar.

Ditanya sama ada isu Ketua Menteri Tan Sri Taib Mahmud yang terlalu lama memegang tampuk pemerintahan mempengaruhi undi kaum Cina untuk beralih kepada DAP, beliau berkata itu hanya persepsi pembangkang.

"Saya sedih dengan melihat situasi sekarang, walaupun masa berkempen kita dah ingatkan bahawa SUPP mewakili penduduk Cina di Sarawak, namun apa yang berlaku jelas menunjukkan peningkatan kaum Cina dari kalangan pembangkang," katanya.

Sehubungan itu, Liow berkata kepimpinan MCA akan bekerja keras bagi memastikan trend kehilangan sokongan pengundi di kawasan bandar tidak berterusan.

"Sebagai pemimpin MCA, saya perlu bekerja keras bagi memenangi undi kaum Cina dan saya akan memberi komitmen melakukan transformasi dalam parti itu serta menyelesaikan masalah komuniti Cina untuk memastikan perkara ini tidak berulang," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain