suria

Kematian Pegawai Kastam: SPRM Sah Gantung Kerja Dua Pegawai

PETALING JAYA: Dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah digantung kerja bagi tujuan siasatan engkar perintah berhubung dengan pengendalian saksi atau pelanggan di premis suruhanjaya itu.

Penggantungan itu juga dibuat susulan daripada insiden yang berlaku di perkarangan bangunan itu semalam (Rabu) yang menyaksikan seorang pegawai kanan kastam mati terjatuh dari tingkat 3 bangunan berkenaan.

Pegawai terbabit dikatakan gagal berada bersama saksi sepanjang masa ketika saksi berada dalam premis berkenaan.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh SPRM pada Khamis, penggantungan kerja itu turut dilakukan bagi membantu melicinkan penyiasatan berhubung perkara itu dan tindakan yang diambil juga adalah sehingga siasatan dalaman tersebut selesai dijalankan.

Kenyataan itu turut menyebut, tindakan penggantungan kerja dibuat di bawah Peraturan 43 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) (Pindaan) 2002 iaitu penahanan kerja bagi maksud penyiasatan.

Dalam pada itu, kenyataan media tersebut memberitahu siasatan dalam berkenaan akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Aduan SPRM yang diketuai oleh Pengerusinya, Datuk Mohd Nor Abdullah setelah semua siasatan selesai dibuat.

Pada Rabu, seorang penolong pengarah kastam Selangor, yang ditahan pada 1 April lepas bagi membantu siasatan kes rasuah dan aktiviti pengubahan wang haram, telah ditemui mati di Tingkat Satu, pejabat SPRM Wilayah Persekutuan, Jalan Cochrane di sini.

Pengarah Bahagian Siasatan SPRM Datuk Mustafar Ali dalam satu sidang media di pejabat itu memberitahu, Ahmad Sarbani Mohamed, 56, telah ditemui mati kira-kira jam 10.15 pagi dan dipercayai terjatuh dari tingkat 3.

Artikel Lain