suria

Pemandu Lori Minyak Dan Rakyat Thai Ditahan Disyaki Seludup Petrol

JELI: Seorang pemandu lori tangki minyak dan seorang lelaki rakyat Thailand ditahan Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) kerana disyaki menjual minyak petrol RON95 bernilai RM57,000 di sebuah restoran di Bukit Bunga, dekat sini malam Jumaat.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) jajahan Tanah Merah Mazni Abdul Rasid@Zakaria berkata pemandu lori yang berusia 40an itu didapati memindahkan minyak petrol RON95 ke dalam 10 tong yang tersorok dalam sebuah longkang berhampiran restoran itu.

Siasatan awal mendapati lori tangki minyak itu berisi 30,000 liter minyak petrol RON95 yang bernilai RM57,000, sementara 10 tong itu pula berisi 110 liter minyak petrol RON95 yang bernilai RM209, katanya.

Beliau berkata pemandu lori itu sepatutnya menghantar minyak itu ke sebuah stesen minyak di Tanah Merah, tetapi dia melencong ke restoran itu.

"Pemandu dari Bagan Luar, Seberang Prai dan rakyat Thailand, yang dipercayai pemilik tong-tong itu telah ditahan oleh UPP, manakala lori dan 10 tong minyak itu disita," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain