suria

11 GRO Rakyat China, 2 Vietnam Ditahan Dalam Ops Sayang

GEORGE TOWN: Tiga belas wanita rakyat asing, tiga daripadanya mempunyai pas lawatan sosial sebagai pelajar, ditahan kerana bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) di sebuah pusat hiburan di Jalan Magazine di sini malam tadi.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresan negeri Abd Rahman Hassan berkata 11 daripada yang ditahan itu adalah rakyat China dengan tiga daripadanya mempunyai pas sebagai pelajar sebuah kolej swasta di ibu negara, manakala dua lagi rakyat Vietnam.

"Wanita terbabit berusia dalam lingkungan 20-an hingga 30-an ditahan dalam Ops Sayang pada pukul 12.45 pagi. Sebelas wanita terbabit cuba melarikan diri ke premis berhampiran manakala dua lagi ditemui bersembunyi dalam sebuah bilik di premis itu," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Abdul Rahman berkata siasatan awal mendapati kesemua wanita itu mempunyai dokumen perjalanan yang sah tetapi telah menyalahguna pas lawatan sosial, pas pelajar dan pas lawatan dengan bekerja sebagai GRO dan dipercayai turut menawarkan khidmat seks kepada pelanggan.

Kesemua wanita terbabit kini ditahan di depot tahanan pendatang tanpa izin di Juru bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Imigresen 1959/63 kerana menyalahguna pas perjalanan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih 6 bulan atau kedua-duanya sekali. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain