suria

YBGK Beri Bantuan Guaman Termasuk Pesalah Kanak-Kanak - Nazri Aziz

PUTRAJAYA: Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) akan memberi khidmat kepada warganegara Malaysia termasuk pesalah kanak-kanak, tertuduh di bawah Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dan tertuduh bagi jenayah syariah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata bantuan guaman itu boleh dimanfaatkan dari peringkat tangkapan sehingga ke peringkat perbicaraan.

Penubuhan YBGK akan membolehkan lebih ramai mendapat bantuan kerana perkhidmatan yang disediakan Majlis Peguam menerusi Pusat Bantuan Guaman tidak dapat membantu semua kerana peruntukan terhad, katanya pada pelancaran YBGK yang dilakukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, di sini pada Jumaat.

"Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak cukup prihatin dan terkejut apabila dimaklumkan terdapat lebih 80 peratus Orang Kena Tuduh (OKT) dalam kes-kes jenayah, tidak diwakili oleh peguam.

"Oleh itu beliau telah menyuruh saya untuk membentuk yayasan ini secepat mungkin, bagi memberi peluang keadilan yang lebih luas kepada warganegara yang memerlukan," katanya.

Yayasan itu mempunyia 12 anggota lembaga pengarah dan dipengerusikan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail manakala Presiden Majlis Peguam K.Ragunath sebagai Timbalan Pengerusi.

Mohamed Nazri berkata yayasan itu diperbadankan pada 25 Januari lepas sebagai sebuah syarikat khairat dan akan beroperasi di Institut latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) di Bangi pada peringkat permulaan.

"Oleh itu, perbelanjaan untuk penubuhan dan operasi yayasan ini pada permulaan adalah dibiayai oleh kerajaan dengan sumbangan daripada Majlis Peguam.

"Bagi mendapatkan sumber kewangan lain, Majlis Peguam telah membuat cadangan supaya faedah dalam kumpulan wang pampasan Majlis Peguam yang terkumpul dalam akaun yang tidak digunakan bagi tahun sebelumnya disalurkan kepada YBGK," katanya.

Mohamed Nazri turut berharap peguam yang berpengalaman dapat mendaftar sebagai peguam panel YBGK dan melaksanakan khidmat sosial kepada masyarakat kerana mereka akan hanya diberi bayaran minimum daripada kes yang dikendalikan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain