suria

236 Pulau Di Malaysia Belum Ada Nama

KUALA LUMPUR: Sebanyak 236 daripada 642 buah pulau yang berada dalam perairan negara ini masih belum ada nama dan langkah segera perlu dilakukan untuk memberi nama kepada pulau berkenaan sebelum ia menjadi isu apabila dituntut oleh negara lain.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Tan Sri Joseph Kurup berkata, apa yang membimbangkan ialah kesemua pulau tanpa nama itu terletak di Sabah.

Kurup berkata entiti milik negara, khasnya pulau yang belum ada nama, perlu dinamakan dan diwartakan segera supaya ia tidak mudah dituntut sewenang-wenangnya oleh negara lain.

"Tindakan ini sangat signifikan kerana sesebuah negara boleh menuntut sempadan perairan sehingga 200 batu nautikal dari pulau tersebut termasuk sumber ekonomi di persekitarannya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar mengenai Nama Geografi dan mesyuarat bahagian ke-18 Kumpulan Pakar-pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Nama Geografi, Asia Tenggara dan Barat Daya Pasifik (UNGEGN ASEPSW) di sini, Rabu.

Justeru, Kurup berharap kerajaan negeri Sabah terutamanya serta agensi di bawah kementeriannya bertindak lebih pro-aktif dan segera dalam mengenal pasti kawasan dan entiti di negara ini yang belum diberi nama.

"Untuk itu, usaha perlu ditumpukan kepada penentuan serta pemilihan nama yang terbaik dengan mengambil kira, jika ada, nama yang telah digunakan oleh penduduk sekitar sejak sekian lama," katanya.

Beliau berkata menurut statistik Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, Malaysia menpunyai 878 buah pulau dan 510 entiti geografi luar pesisir seperti batuan, beting, terumbu, permatang, tompok dan alur. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain