suria

Dr Abdul Hayei Penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul 2011

Penerima Anugerah Maulidur Rasul 2011, Wee Soo Yen (dua dari kanan)bersama keluarga, dari kiri, Wee Soo May (adik), Wee Hock Lim (ayah) and dan Soo Ah Khem (ibu). - Foto THE STAR/UU BAN
Penerima Anugerah Maulidur Rasul 2011, Wee Soo Yen (dua dari kanan)bersama keluarga, dari kiri, Wee Soo May (adik), Wee Hock Lim (ayah) and dan Soo Ah Khem (ibu). - Foto THE STAR/UU BAN
Penerima Anugerah Maulidur Rasul 2011, Wee Soo Yen (dua dari kanan)bersama keluarga, dari kiri, Wee Soo May (adik), Wee Hock Lim (ayah) and dan Soo Ah Khem (ibu). - Foto THE STAR/UU BAN

PUTRAJAYA: Bekas Profesor Madya Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM), Dr Abdul Hayei Abdul Sukor diumukan sebagai penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul 2011 pada sambutan peringkat kebangsaan di sini, pada Selasa.

Abdul Hayei, 64, yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan menerima wang tunai RM50,000, trofi, sijil penyertaan dan senaskah kitab tafsir Al-Quran yang berharga RM3,000 yang disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Semasa ditemui, Abdul Hayei meluahkan rasa syukur kepada Allah atas pemberian anugerah tersebut yang disifatkan sebagai bukti bahawa perkara kebaikan masih wujud.

“Saya tidak pernah berputus asa dan akan terus menjalankan kewajipan memberi sumbangan kepada agama dan negara.

“Ia adalah satu kewajipan bagi umat manusia yang mempunyai amanah untuk menyebarkannya di bumi Allah,” katanya.

Abdul Hayei juga merupakan salah seorang ahli Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan sangat aktif berdakwah menyampaikan syarahan agama, kuliah dan tazkirah di seluruh negara, selain menjawab persoalan agama menerusi laman web rasminya.

Selain itu, bekas pensyarah di UM daripada tahun 1980 hingga 2003 itu juga banyak memberikan sumbangan dalam penulisan artikel dan majalah ilmiah.

Beliau juga pernah menghasilkan sebuah kitab tafsir al-Quran versi bahasa Melayu bertajuk ‘Tafsir Pedoman Muttaqin’ dan karya-karya lain seperti ‘Hadith 40 Al-Nawawi, Tafsir dan Ulasan’, ‘Hadis Maudhu - Sejarah dan Konsep’ dan ‘Imam Malik, Sejarah dan Pemikiran’.

Sementara itu, pelajar tingkatan empat, Sekolah Menengah Kebangsaan Bachok, Kelantan, Wee Soon Yen, 16, memberitahu dia tidak menyangka akan dipilih sebagai penerima anugerah pada sambutan tahun ini.

Pelajar cilik tersebut dipilih berdasarkan pencapaian akademiknya yang cemerlang, iaitu memperoleh 8A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun 2010.

Selain itu, Wee juga merupakan satu-satunya pelajar bukan Islam yang mendapat A dalam mata pelajaran Bahasa Arab.

Menurut Wee, minat untuk mempelajari Bahasa Arab mula timbul apabila dia memulakan sesi persekolahan menengah.

“Saya mula berminat untuk mempelajarinya kerana ia merupakan satu bahasa baru kepada saya. Jadi saya menganggapnya sebagai satu cabaran untuk diri sendiri,” katanya.

Wee menambah, pada peringkat awal, ibunya tidak begitu menyokong tindakannya untuk mempelajari bahasa tersebut.

“Bagaimanapun, saya berjanji kepadanya bahawa saya akan lulus subjek Bahasa Arab dan sejak itu, beliau membenarkan saya untuk menduduki peperiksaan Bahasa Arab,” katanya.

Pelajar bertubuh kecil itu juga memberitahu, dia akan memanfaatkan seluruh masa di sekolah bertanyakan kepada guru dan rakan-rakan jika mempunyai masalah kerana tidak mempunyai tempat rujukan di rumah.

Selain Wee, turut menerima anugerah pada sambutan tahun ini ialah Bekas Timbalan Ketua Pengarah (Jabatan Pendidikan Islam dan Moral) Kementerian Pelajaran Malaysia, Datuk Dangiran Mustapha, 60, yang juga merupakan Timbalan Pengerusi, Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran Malaysia.

Juga menerima anugerah ialah, Profesor Kuliyyah Senibina dan Rekabentuk Alam Sekitar, Universiti Islam Antarabangsa Profesor Dr Ismawi Zen, 58, yang pernah sebagai ahli Panel Antarabangsa bagi kajian pembangunan Msjidil Haram, Mekah pada tahun 2008 dan Bekas Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah.

Pada majlis sama, dua wanita turut dipilih untuk menerima anugerah Maulidur Rasul 2011, iaitu Bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Tan Sri Hasmah Abdullah, 59, dan Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Jantung Negara, Tan Sri Dr Robaayah Zambahari, 59.

Hasmah menyifatkan penghargaan yang diterimanya sebagai satu pengiktirafan kepada kaum wanita.

Semua penerima anugerah membawa pulang wang tunai RM20,000, trofi, sijil penyertaan dan senaskah kitab tafsir Al-Quran bernilai RM3,000.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain