Abu Bakar Ba'asyir Dituduh Merancang Dan Mengerakkan Tindakan Keganasan

JAKARTA: Tokoh ulama Abu Bakar Ba'asyir pada Isnin dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan merancang dan menggerakkan orang lain untuk melakukan jenayah keganasan.

Pemimpin pergerakan Islam, Jamaah Anshorud Tauhid (JAT) itu antara lain dituduh terlibat dalam penubuhan kem latihan ketenteraan jaringan pengganas Aceh di Pergunungan Jalin, Jantho, Aceh Besar serta merancang, menggerakkan, terlibat dalam pemuafakatan dan membiayai pelbagai kegiatan keganasan.

Beliau juga dituduh terlibat dalam jenayah rompakan oleh sekumpulan perompak bersenjata di sebuah bank di Medan tahun lpeas.

Ba'asyir berhadapan dengan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

Tuduhan terhadapnya dibacakan pendakwa di Mahkamah Daerah Jakarta Selatan pagi ini, yang dikawal ketat lebih 1,000 anggota polis sebagai langkah keselamatan daripada ratusan penyokong ulama itu yang berdemonstrasi di luar mahkamah membantah penahanan dan tuduhan ke atasnya.

Selesai perbicaraan hari ini, seorang daripada peguambela Ba'asyir, M Assegaf berkata persidangan hari ini adalah rekayasa episod ketiga.

Rekayasa pertama ialah ketika ulama itu dituduh terlibat dalam kejadian serangan bom di Bali dan yang kedua ketika dia dituduh terlibat dalam kejadian serangan bom di hotel JW Marriott, Jakarta, yang telah terbukti beliau tidak terlibat dalam kedua-dua tuduhan itu, kata Assegaf.

Di luar mahkamah, penunjuk perasaan yang melaungkan takbir bertekad untuk terus menyokong Ba'asyir.

"Ustaz Abu Bakar Ba'asyir ialah ulama yang konsekuen dengan perjuangan Islam, kerana itu kami akan membelanya," katanya seorang daripada pemidato dalam demonstrasi itu.

Demonstrasi itu menyebabkan lalu lintas kedua-dua arah jalan raya di hadapan Mahkamah Daerah Jakarta Selatan, sesak sehingga pada beberapa masa, tidak boleh dilalui semua kenderaan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain