suria

Wanita Uganda Ditahan Bersama Syabu Bernilai RM750,000

BUTTERWORTH: Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang menahan seorang wanita Uganda dan merampas tiga kilogram dadah jenis Syabu bernilai RM750,000 yang disembunyikan dalam bagasinya di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTABL) di sini, Jumaat lepas.

Timbalan Pengarah Kastam Bahagian Penguatkuasaan Negeri, R.Mariappa berkata, wanita berusia dalam lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira pukul 2.45 petang selepas mendapati terdapat imej meragukan ketika bagasinya diimbas.

"Hasil pemeriksaan, pegawai yang bertugas di Bahagian Unit Khas Pemeriksaan Penumpang (UKPP) menemui dua bungkusan 'aluminium foil' yang mengandungi dadah jenis syabu dalam satu ruang khas dalam bagasi wanita berkenaan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan wanita berkenaan dijadikan keldai dadah oleh sindiket pengedaran dadah antarabangsa.

"Wanita yang bekerja sebagai tukang masak di negara asalnya itu baru pertama kali datang ke Malaysia dan mendaftar masuk sebagai pelancong," katanya.

Mariappa berkata, wanita itu kini direman selama 14 hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain