suria

SPRM Masih Siasat Menantu Nik Aziz

KOTA BARU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih meneruskan siasatan ke atas menantu Menteri Besar, Abdul Ariffahmi Abdul Rahman dan kes itu tidak pernah ditutup, Kata Pengarah SPRM Kelantan, Nasrudin Mohd Nor.

Menurut beliau, kes tersebut masih lagi disiasat dan tidak pernah ditutup.

Abdul Ariffahmi Abdul Rahman adalah bekas ketua pegawai eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), iaitu sayap pelaburan kerajaan negeri.

“Buat masa ini saya tidak boleh menyatakan status kes itu tetapi SPRM Negeri sedang menyediakan laporan untuk dibentangkan kepada Ibu Pejabat," katanya kepada para pemberita selepas majlis penyerahan poster pencegahan rasuah kepada Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri, Abdul Ghani Che Kasim di sini, Khamis.

Nasrudin juga enggan mengulas sama ada siasatan ke atas Abdul Ariffahmi ada kaitan dengan dakwaan salah urus kewangan PMBK atau berkaitan dengan tender pembinaan bazar di sini.

Kerajaan Negeri dikatakan mengalami kerugian sehingga RM50 juta berhubung urusan pembangunan bazar berkenaan.

Pada 15 Disember tahun lalu, SPRM telah mendapati, Nik Aziz tidak bersalah berhubung dengan pelantikan Abdul Ariffahmi sebagai ketua pegawai eksekutif PMBK.

SPRM menjelaskan bahawa Pejabat Peguam Negara berpuas hati bahawa Menteri Besar berkuasa penuh untuk melantik mana-mana pegawai negeri termasuk anak syarikat negeri.

Agensi pencegahan rasuah itu juga mendapati, tidak ada bukti untuk menyabitkan menteri besar Kelantan itu dengan sebarang perbuatan rasuah berhubung tajaan haji bernilai RM65,000 yang ditawarkan kepadanya tahun lalu.

Sebelum itu pada 5 November 2009, SPRM telah menyerbu dan merampas dokumen di pejabat PMBK ekoran dakwaan seorang pegawainya Syed Azidi Syed Abdul Aziz bahawa Abdul Ariffahmi telah menyalahgunakan kuasanya sebagai ketua pegawai eksekutif.

Ekoran kritikan daripada pelbagai pihak berhubung kes itu dan atas nasihat presiden PAS, Nik Aziz sendiri telah menasihati menantunya itu supaya meletakkan jawatannya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain