suria

20 Ribu Orang Dijangka Hadir Rumah Terbuka Tahun Baru Cina

KUALA LUMPUR: Kira-kira 20,000 orang dijangka membanjiri Dataran Kipas Bandaraya Miri, Sarawak sempena sambutan Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baru Cina pada 6 Feb ini.

Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang berkata sambutan itu bukan sahaja akan dihadiri masyarakat pelbagai kaum di Miri, malah penduduk luar negara yang terlibat dalam industri minyak dan gas serta rakyat Brunei yang tinggal berdekatan.

"Pameran dan persembahan pentas berupa nyanyian dan tarian daripada artis-artis terkenal seperti Jamal Abdillah dan kumpulan kebudayaan juga akan diadakan," katanya kepada Bernama selepas mengadakan temuramah dengan Radio 24 Bernama di sini, Rabu.

Beliau berkata penganjuran program itu di Miri menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam usaha merapatkan jaringan gagasan 1Malaysia di antara rakyat berbilang kaum di kawasan itu.

"Melalui penganjuran ini juga, kita percaya rakyat Malaysia akan tahu kerajaan bukan hanya menumpukan sambutan perayaan besar di Semenanjung tetapi tidak ketinggalan di Sabah dan Sarawak," katanya.

Salang berkata program rasmi rumah terbuka itu, yang akan turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud, dijadual bermula pada 8.35 malam.

"Selepas program rasmi tamat pada kira-kira 10.30 malam, Perdana Menteri dan Ketua Menteri akan bersantai sambil beramah mesra bersama rakyat di sebuah kedai kopi berdekatan.

"Acara penyampaian buah limau dan sumbangan untuk orang yang kurang berkemampuan juga akan diadakan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain