suria

17 Jun Bagi Pengurusan Kes Saman Abdul Khalid Terhadap SPRM

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 17 Jun untuk pengurusan kes saman Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (MACC), bekas ketua Pesuruhjayanya Datuk Ahmad Said Hamdan dan Kerajaan, berhubung kenyataan yang mendakwa Abdul Khalid telah menyalahgunakan kuasanya.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Norazlin Othman menetapkan tarikh itu dalam kamar selepas bertemu peguam Abdul Khalid, Wan Anuar Shaddat Mohamed Amin dan Peguam Kanan Persekutuan Habibah Haron bagi pihak MACC.

Pada 27 April, 2009, Abdul Khalid memfail saman dengan mendakwa kenyataan Ahmad Said pada 21 Februari 2009 mengenai hasil siasaan suruhanjaya itu tentang salah guna kuasanya berhubung penyenggaraan kereta peribadinya dan pembelian 46 ekor lembu Hari Raya Aidiladha bagi kawasan parlimen Bandar Tun Razak adalah fitnah.

Beliau memohon ganti rugi berbentuk kompensatori, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, am dan gantirugi khas serta injunksi bagi menyekat defendan dari terus melafazkan kenyataan fitnah. Beliau tidak menyebut jumlahnya.

Dalam kenyataan tuntutan, Abdul Khalid mendakwa bahawa kenyataan itu bererti beliau seorang pembohong, tidak berprinsip, rasuah, tidak beretika dan seorang ahli politik yang tidak layak yang telah melakukan kesalahan jenayah.

Ahmad Said dalam kenyataan pembelaannya difailkan pada 31 Julai 2009, menafikan membuat kenyataan fitnah itu terhadap Khalid, dengan menyatakan beliau melafazkan perkataan-perkataan itu dengan niat baik, tanpa niat buruk hingga merosak reputasi Abdul Khalid.

Ketika itu beliau (Ahmad Said) menjawab soalan dari wakil media pada sidang akhbar 20 Februari, 2009 mengenai perkembangan siasatan MACC terhadap dakwaan rasuah dan salahguna kuasa oleh Abdul Khalid, kata Ahmad Said.

Ahmad Said berkata beliau mengeluarkan kenyataan itu dalam kapasitinya sebagai ketua MACC dan dalam memenuhi tanggungjawabnya untuk menerangkan perkembangan siasatan kes itu kepada orang ramai. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain