suria

Beberapa Jalan Di Sekitar Kuala Lumpur Ditutup Sabtu Ini

KUALA LUMPUR: Beberapa jalan di sekitar Dataran Merdeka akan ditutup Sabtu ini sempena sambutan Hari Wilayah.

Jalan-jalan tersebut yang akan ditutup mulai 6 pagi hingga 12 tengah hari melibatkan Jalan Raja, persimpangan Jalan Tuanku Abdul Rahman/Jalan Raja/Jalan Cenderasari/Jalan Lembah, Jalan Perdana/Jalan Damansara/Bulatan Hishamuddin, Jalan Kinabalu/Susur Bukit Aman, Jalan Leboh Pasar Besar/Jalan Tun Perak/Lencongan Jalan Raja/Jalan Raja Laut dan Lencongan Bulatan Dato' Onn/Jalan Parlimen dari arah pusat bandar.

Ketua Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner (ACP) Rusli Mohd Noor berkata pengguna jalan raya boleh merujuk kepada Sistem Maklumat Pengangkutan Bersepadu (ITIS) sebagai panduan tentang penutupan jalan pada hari tersebut.

Orang ramai yang ingin memasuki kawasan ibu kota hari ini terperangkap dalam kesesakan lalu-lintas ekoran mereka tidak menyedari tentang penutupan jalan-jalan bagi memberi laluan kepada upacara raptai sambutan Hari Wilayah di Dataran Merdeka.

"Sebenarnya sudah seminggu makluman tentang penutupan jalan melalui ITIS yang dipaparkan di banyak laluan, namun masih ada pengguna yang merungut dan mengatakan pihak kami tidak memaklumkan sebarang maklumat kepada mereka," kata Rusli.

Beliau berkata seramai 36 anggota polis trafik akan ditugaskan untuk mengawal di setiap jalan yang ditutup pada hari sambutan.

"Mereka akan bertugas seawal pukul 5 pagi di mana pada hari-hari biasa anggota trafik hanya bertugas seawal 6 pagi," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain