suria

Rais Yatim Dipilih Sebagai Tokoh Buku Negara 2010

KUALA LUMPUR: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Buku Negara 2010, pada majlis Anugerah Buku Negara di sini malam tadi.

Anugerah yang disampaikan isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor itu sebagai menghargai jasa beliau yang berjuang dalam bidang penulisan dan penerbitan buku.

Ketika ditemui pemberita, Rais berkata perjuangan dalam bidang penulisan dan penerbitan buku merupakan perjuangan tamadun yang perlu dilaksanakan secara berterusan.

Beliau berkata ini kerana buku merupakan elemen penting dalam pembinaan tamadun dan negara bangsa yang berilmu dalam negara ini.

"Justeru industri penulisan perlu diperkasakan, agar bolehlah kita menanam semangat itu dalam membina negara bangsa kita," katanya.

Turut hadir di majlis itu Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah dan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Hasan Malek.

Terdahulu dalam ucapannya, Rosmah berkata para ilmuan dan pemikir negara ini perlu menghasilkan pelbagai jenis buku sama ada fiksyen dan nonfiksyen yang bermutu tinggi dan bertaraf dunia memandangkan negara ini masih kekurangan karya agung yang dapat menyerlahkan citra bangsa dan tamadun negara.

Katanya, mereka juga digalak menulis buku sejarah dan budaya tempatan serta pengalaman dan pandangan negara ini tentang sesuatu subjek atau isu global untuk dikongsi dengan masyarakat antarabangsa.

"Saya yakin dengan semangat 1Malaysia yang menitikberatkan nilai aspirasi seperti budaya ilmu dan berprestasi tinggi, penulis-penulis kita mampu menghasilkan karya-karya agung bercitra Malaysia sebagai sumbangan kepada generasi Malaysia hari esok dan amnya kepada masyarakat dunia," katanya.

Anugerah Buku Negara yang mengandungi enam Anugerah Perdana dan 25 Anugerah Industri diadakan bagi mengiktiraf dan menghargai perjuangan industri penerbitan buku selain memberi suntikan semangat kepada pemain industri sebagai galakan agar terus menghasilkan buku yang berkualiti.

Anugerah Perdana melibatkan anugerah Tokoh Buku Negara 2010, Tokoh Pengarang 2010, Kedai Buku Terbaik 2010, Tokoh Pembangunan Buku Negara 2010 dan Penerbit Terbaik 2010.

Selain itu, Anugerah Industri pula melibatkan Penulis Terbaik, Penterjemah Terbaik, Editor Terbaik, Ilustrator Terbaik, Rekabentuk Buku Terbaik, Jurufoto Terbaik, Pencetak dan Penjilid Terbaik, dan Buku Terbaik. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain