suria

Bangsa Yang Berani Bersaing Akan Jadi Bangsa Yang Berjaya Pada Abad Ke-21 - Najib

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata hanya bangsa yang mampu dan berani bersaing serta sanggup melakukan perubahan akan menjadi bangsa yang berjaya dalam menghadapi persaingan pada abad ke-21 ini.

Perdana Menteri berkata ini kerana abad ke-21 ini tidak menjanjikan kejayaan kepada sesiapa, melainkan bagi mereka yang sanggup berusaha dengan gigih, menguasai segala ilmu dan kemahiran serta menunjukkan etika kerja yang luar biasa.

"Tidak macam orang lain, tetapi yang luar biasa. Mengatasi pesaing yang lain, barulah kita akan muncul sebagai pemenang atau mereka yang berjaya pada abad ke-21," katanya pada majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran Persatuan Kebajikan Anak-Anak Pahang di Ibu Kota (PEKAP) di sini, Jumaat.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan Yang Dipertua PEKAP Datuk Sulaiman Ibrahim.

Najib berkata beliau mahu melihat anak-anak Pahang pada abad ke-21 ini berani untuk menghadapi cabaran tersebut.

"Saya berbangga kerana semangat anak-anak Pahang ini masih kuat untuk terus menyokong bukan sahaja kegiatan Pekap tetapi juga anak Pahang yang memegang jawatan dalam kerajaan," katanya.

Sehubungan itu, Najib berharap sokongan seperti itu akan diteruskan kerana cita-cita negara dalam bentuk agenda yang besar, adalah amat jelas.

"Hala tuju kita tak boleh diragui, soalnya sama ada kita faham atau tidak, atau tidak mahu faham. Itu sahaja.

"Tetapi jika kita teliti, memang tak dapat dinafikan, kita mempunyai perancangan dalam bentuk pelan perubahan dan transformasi amat besar untuk negara," katanya.

Beliau berkata dengan sokongan semua pihak, perjalanan akan menjadi lebih mudah berikutan konteks persekitaran pada hari ini dan akan datang adalah sangat besar. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain