suria

Bapa Diarahkan Bela Diri Tuduhan Bunuh Anak

SHAH ALAM: Seorang buruh diarahkan untuk membela diri atas tuduhan membunuh anaknya yang mana mayat ditemui dalam sebuah beg oleh dua orang nelayan di Teluk Intan, Perak, tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Wira Mohtarudin Baki membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie untuk dijawab oleh tertuduh, M. Murthy.

“Saya berpuas hati tertuduh telah mencederakan mangsa dan kematian mangsa disebabkan oleh kecederaan tersebut serta tertuduh mempunyai niat untuk melakukan pembunuhan tersebut,” katanya.

Perbicaraan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rosidah Abu Bakar menyaksikan 20 saksi pendakwaan memberi keterangan.

Peguam N. Rathavathy yang menyebut bagi pihak K.Vikneswaran memberitahu, tertuduh akan membela diri melalui keterangan bersumpah dan memanggil seorang lagi anak tertuduh sebagai saksi.

Murthy, 32, didakwa membunuh Ruthren, dua tahun sembilan bulan pada pukul 4.15 petang, 20 Januari 2009, di rumah Lot 1848, Jalan Kapar, Sungai Pinang, Klang, dekat sini.

Mangsa yang merupakan anak kelima tertuduh dan isterinya, K. Selvi lahir semasa tertuduh menjalani hukuman penjara. Mangsa dipelihara oleh orang lain sehingga diambil semula oleh tertuduh yang bebas pada 11 Disember 2006.

Berdasarkan keterangan Selvi selaku saksi pendakwaan ke-13, dia melihat tertuduh telah memijak kepala mangsa yang sedang menangis sehingga muka kanak-kanak itu kebiru-biruan dan kejang.

Usaha Selvi untuk membantu mangsa gagal apabila tangannya diikat dan mulutnya disumbat dengan kain sebelum dikurung di bilik tidur oleh tertuduh.

Anak kedua pasangan itu, M. Thinesh yang semasa itu berusia sembilan tahun pula melihat tertuduh telah memukul, menendang dan memijak mangsa sehingga mati di ruang dapur rumah.

Dia juga melihat tertuduh telah membungkus mangsa di dalam kain dan dimasukkan ke dalam sebuah beg. Tertuduh kemudiannya keluar dari rumah dengan menaiki motosikal.

Seorang saudara mereka pula memberitahu, pada mulanya Selvi memaklumkan mangsa mati kerana demam selama tiga minggu di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, bagaimanapun carian gagal menemui rekod kematian.

Selvi akhirnya menceritakan perkara sebenar selepas disoal oleh saudara tersebut dan mendakwa tertuduh telah mengugut untuk membunuh dia dan anak-anak.

Tertuduh juga telah menghalang anak sulung mereka pergi ke sekolah selama seminggu memandangkan Selvi meminta kejadian itu diberitahu kepada guru sekolah.

Siasatan mendapati tertuduh telah mencampakkan beg itu ke longkang besar berhampiran Pelabuhan Klang dan dijumpai beberapa bulan kemudian di Perairan Selat Melaka, berhampiran Pulau Sembilan, Teluk Intan.

Mayat ditemui dalam keadaan tidak sempurna seperti organ dalaman telah tiada dan menyukarkan pengecaman dibuat.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

24 Rumah rosak Dilanda Ribut

Artikel Lain