suria

BN Akan Bawa Semangat Hulu Selangor Ke Galas, Kata Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) akan membawa semangat kemenangan Hulu Selangor ke kawasan pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan kawasan Galas, kata Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan.

Beliau berkata semangat untuk BN menawan kembali DUN Galas sudah ada memandangkan kawasan itu merupakan 'kubu' BN sebelum ini.

"Itu kubu Barisan Nasional sebenarnya. Jadi, kita kena tawan balik kubu yang sudah terlepas.

"Macam mana kita tawan balik kubu kita Hulu Selangor yang terlepas, begitulah juga Galas, kubu kita...kita kena tawan balik," katanya kepada pemberita ketika menghadiri jamuan rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri dan Hari Malaysia Majlis Belia Malaysia (MBM) di sini Khamis.

Hadir sama pada majlis itu Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo dan Presiden MBM Mohamed Maliki Mohamed Rapiee.

Bagi persediaan menghadapi pilihan raya kecil itu, Ahmad berkata beliau akan berjumpa dengan Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah pada 9 Oktober ini untuk membincangkan beberapa perkara yang akan dilakukan BN.

Mengulas mengenai tindakan sekumpulan penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menghalang bekas pembantu kepada penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Muhamad Rahimi Osman mengadakan sidang akhbar, beliau berkata perkara tersebut tidak seharusnya berlaku memandangkan PKR sebelum ini menyeru agar diadakan kebebasan bersuara.

"Selama ini PKR yang menyeru supaya diadakan kebebasan akhbar dan sebagainya...tetapi apabila rakyat ingin membuat sidang akhbar orang-orang mereka yang menyerbu daripada sidang akhbar itu dilakukan.

"Negara ini bebas, kita berhak bersuara, berhak menyatakan sesuatu perkara termasuk juga Rahimi. Sepatutnya ia tidak dilakukan sebagaimana yang berlaku semalam," katanya.

Justeru, beliau meminta anggota Umno supaya belajar dan mengambil iktibar daripada peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam PKR dan menganggap peristiwa itu memberi kelebihan kepada Umno.

Semalam, sidang akhbar oleh bekas pembantu Anwar terpaksa dihentikan selepas diganggu sekumpulan lelaki sebaik sahaja bermula.

Difahamkan Muhamad Rahimi memanggil sidang media itu untuk mengeluarkan kenyataan berkenaan laporan polis yang dibuatnya pada pukul 3 petang semalam terhadap dua akuan bersumpah yang ditandatanganinya mengenai kes liwat Anwar dan Mohd Saiful pada 2008. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

24 Rumah rosak Dilanda Ribut

Artikel Lain