suria

Tan Sri Gnanalingam Terima Anugerah Khas Bekas Putera MTD

KUALA LUMPUR: Pengerusi Eksekutif Westports Malaysia, Tan Sri G. Gnanalingam, menerima anugerah "Bekas Putera" Terbaik bagi tahun ini daripada Persatuan Bekas Putera, alumni rasmi Maktab Tentera Diraja (MTD). Anugerah itu diberikan sebagai pengiktirafan terhadap peranannya dalam menerapkan dinamisme baharu dalam perniagaan pelabuhan dan bagi konsep inovatifnya, Piawaian Pelabuhan Pantas, Pelabuhan dalam Taman dan Pelabuhan Anjal bagi industri pelabuhan.

Pencapaiannya dalam mengubah Westports menjadi satu daripada pelabuhan antarabangsa yang paling berjaya di dunia meskipun ketika dunia mengalami kelembapan ekonomi mendapat pujian dan penghargaan daripada jawatankuasa anugerah.

"Kami ingin menyediakan lebih banyak hubungan laut di antara rantau Asia Pasifik dengan rantau-rantau lain di dunia," kata Gnanalingam dalam ucapan penerimaannya pada upacara penyampaian anugerah itu di Kuala Lumpur, Jumaat.

Gnanalingam, seorang usahawan pelabuhan yang berjaya, berkata Westports komited terhadap usaha menghubungkan lebih banyak komuniti perniagaan dengan negara-negara di seluruh dunia bagi meningkatkan perdagangan dan perniagaan kerana hubungan laut juga memainkan peranan penting dalam memperkukuh negara-negara dari sudut ekonomi, sosial dan politik.

Gnanalingam tanpa jemu memperjuang kepentingan industri pelabuhan Malaysia, terutamanya dalam meletakkan Pelabuhan Klang sebagai pelabuhan kontena ke-13 terbesar di dunia.

Dalam tempoh 16 tahun, Westports berkembang daripada mengendalikan satu juta TEU (unit bersamaan dua puluh kaki) pertama yang dikendalikannya pada 2000 kepada hampir lima juta TEU pada 2008, hubungan dengan lebih 300 pelabuhan dan kekuatan tenaga kerja seramai 3,500 orang yang mana 72 peratus daripadanya adalah Bumiputera.

Dari sudut khidmat masyarakat dan sosial, usaha-usaha Gnanalingam memang diketahui umum di kalangan penduduk Pulau Indah, Pelabuhan Klang, yang menjadi lokasi Westports.

Dengan usaha Westports, kadar kemiskinan di pulau itu berkurangan dengan ketara tahun demi tahun.

Beliau yang dipanggil mesra sebagai Tan Sri G, terkenal kerana kemurahan hatinya dan kerja-kerja kemasyarakatannya, tetapi, barangkali, tindakannya membelanjakan lebih RM106 juta baru-baru ini untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi pemegang saham Maika Holdings yang telah berlarutan selama 26 tahun adalah satu daripada usaha menyelamat peribadi yang terbesar di negara ini. - BERNAMA

Artikel Lain