suria

Anwar Gagal Dapat Kebenaran Mahkamah Tengok Nota Perubatan Saiful

PUTRAJAYA: Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan di sini hari ini bagi mendapatkan laporan perubatan tiga doktor Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang telah memeriksa Mohd Saiful Bukhari Azlan, pengadu dalam kes tuduhan liwatnya.

Hakim Datin Paduka Zaleha Zahari yang mengetuai tiga panel hakim menolak rayuannya selepas menerima hujahan yang dikemukakan oleh Peguam Cara Negara II, Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden mengenai takat bidang kuasa.

Beliau memutuskan bahawa keputusan Mahkamah Tinggi dalam menolak rayuan Anwar, 63, bagi mendapatkan dokumen itu tidak boleh dirayu kerana perintah itu itu dibuat semasa satu perbicaraan kerana ia tidak menafikan haknya (Anwar).

Jawapan korum sama ada keputusan Mahkamah Tinggi itu merupakan perintah muktamad, Zaleha berkata ia adalah negatif.

Dua lagi hakim yang bersidang dengan Zaleha ialah Hakim Datuk Abdul Malik Ishak dan Datuk Clement Allan Skinner.

Pada 18 Jun, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menolak permohonan Anwar bagi mendapatkan nota klinikal, laporan perubatan, bahan, spesimen mengenai kes liwat Anwar yang dikumpulkan oleh Dr Khairul Nizam Hassan, Dr Mohd Razali Ibrahim dan Dr Siew Sheue Feng.

Anggota Parlimen Permatang Pauh itu juga memohon sejarah lengkap pemeriksaan perubatan ke atas Mohd Saiful yang dijalankan di HKL, proforma serangan seksual standard dan kit serangan seksual yang digunakan oleh hospital dan kelayakan serta pengalaman ketiga-tiga doktor berkenaan.

Pihak pembelaan memerlukan pelbagai dokumen dan bahan untuk diteliti pakar forensik Australia Prof Madya David Lawrence Noel Wells, yang telah diambil sebagai pemerhati oleh pasukan Anwar, sebelum pemeriksaan balas ke atas saksi kedua, pakar bedah Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Mohd Razali Ibrahim.

Semasa pemeriksaan utama, Dr Mohd Razali mengesahkan berlaku penetrasi zakar berdasarkan laporan kimia yang menunjukkan kehadiran air mani pada empat kapas kesat yang diambil daripada Mohd Saiful.

Anwar juga gagal bagi mendapatkan dokumen utama termasuk sampel spesimen DNA Mohd Saiful sebelum bermulanya perbicaraan kes liwatnya, apabila Mahkamah Persekutuan menolak permohonan bagi semakan keputusan Mahkamah itu yang tidak menyebelahinya pada 2 Feb tahun ini.

Anwar dituduh meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful, 25, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008. Anwar boleh dipenjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.Perbicaraannya yang sedang berjalan terhenti selepas Anwar memohon bagi kali kedua supaya menggugurkan dakwaan liwat berdasarkan dakwaan "hubungan intim" antara pengadu (Mohd Saiful) dan Timbalan Pndakwa Raya Farah Azlina Latif.

Peguam Anwar, Karpal Singh mempersoalkan integriti pendakwaan berikutan dakwaan hubungan itu.

Bagaimanapun, pasukan pendakwaan yang diketuai Mohamed Yusof, berkata ia hanya semata-mata dakwaan tanpa sebarang kebenaran dan bahawa peranan Farah Azlina dalam kes itu hanya terhad untuk mengambil dan mencatat segala nota perbicaraan.

Di luar mahkamah hari ini, Karpal Singh berkata pihak pembelaan merancang untuk meletakkan Farah Azlina dan Mohd Saiful sebagai saksi berhubung dakwaan hubungan intim itu.

Katanya, permohonan itu akan dibuat pada perbicaraan berhubung usaha Anwar untuk mengetepikan dakwaan, yang ditetapkan pada Isnin.

Artikel Berikut

Artikel Lain