suria

Guna Dana Awam Untuk Benar-Benar Manfaat Rakyat - Najib

KUALA LUMPUR: Dana awam harus dipergunakan dengan cara yang benar-benar memberi manfaat langsung kepada rakyat, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata untuk tujuan itu, kerajaan akan meneliti projek-projek yang menjadi keutamaan kepada rakyat.

"Jadi kerajaan sedar mengenai perkara ini dan harap kami mampu memenuhi harapan rakyat," katanya dalam blog beliau di www.1malaysia.com.my di bawah tajuk "Respon Kepada Komen - Perbelanjaan Kerajaan Bagi Program Rakyat'.

Najib menulis demikian bagi mengulas komen seorang pengirim yang memberi ulasan bahawa kerajaan harus menilai Pulangan Bagi Pelaburan (ROI) dari segi nilai sosial, modal insan, kesihatan dan sebagainya sebelum memperuntukan bajet untuk sebarang program.

Pengirim itu berkata sekiranya kerajaan mempunyai pewajaran maka tiada sesiapa boleh mempersoalkan tindakan yang diambil oleh kerajaan.

"Saya sangat setuju dengan anda bahawa kami perlu berbelanja dengan bijak dan berhemah kerana kami menggunakan wang rakyat," kata Najib.

Misalnya, Najib berkata kerajaan telah melaksanakan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan enam NKRA yang dikenal pasti adalah mengikut penilaian kerajaan dan bidang keutamaan seperti diilhamkan oleh rakyat.

Menurutnya rakyat mahu melihat pembasmian kemiskinan, sistem pengangkutan awam yang lebih baik, penurunan kadar jenayah dan rasuah, pendidikan berkualiti dan rakyat juga mahu kerajaan membantu golongan yang kurang bernasib baik.

"Jadi, ini adalah bidang yang akan mendapat keutamaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) (2011-2015)," katanya.

Pada masa sama, Najib berkata kerajaan juga perlu merangsangkan ekonomi dan untuk tujuan itu telah memutuskan Dana Pemudahan berjumlah RM20 bilion di bawah RMK-10.

Beliau berkata diharap kerajaan mampu bertindak sebagai pemungkin (enbaler) bagi membolehkan sektor swasta melabur.

"Dengan menggunakan jumlah kecil dana awam, kami boleh mampu mencetuskan tahap pelaburan swasta yang lebih tinggi," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain