suria

Persatuan Sejarah Malaysia Bantah Pemansuhan UPSR, PMR

KUALA LUMPUR: Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) membantah cadangan memansuhkan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) kerana kedua-dua peperiksaan itu telah menjadi sistem penilaian yang berpengaruh dalam pembelajaran.

Pengerusinya Datuk Omar Mohd Hashim berkata selain itu, kedua-dua peperiksaan juga telah berkembang sebagai penjana motivasi kepada pelajar.

"Kedua-duannya (UPSR dan PMR) telah mengalami penjenamaan selama 50 tahun untuk mencapai status kedewasaan mantap sekarang, dan apa yang perlu dilakukan oleh Kementerian Pelajaran ialah memperbaiki dan menambah baik kedua-dua peperiksaan dari segi corak, kaedah serta format pengukuran yang lebih efektif, daripada memansuhkannya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluannya pada Mesyuarat Tahunan Majlis ke-55 PSM di sini Sabtu, yang dirasmikan bekas ketua polis negara Tun Mohammed Hanif Omar.

Omar, bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya dan bekas Timbalan Ketua Pengarah (I) Pendidikan Kementerian Pendidikan berkata, sebagai sebuah persatuan yang dianggotai ramai bekas pengarah, timbalan pengarah serta pegawai kanan pendidikan, PSM tidak dapat mengelak daripada membincangkan isu itu.

Beliau berkata persatuan itu telahpun menghantar memo kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran, mengenai pandangan PSM mengenai pemansuhan kedua-dua peperiksaan tersebut.

"PSM memohon supaya sebelum Kementerian Pelajaran mengambil keputusan yang drastik ini, wajarlah perkara ini difikirkan secara masak-masak dan panjang lebar.

"Adalah senang untuk memansuhkannya dalam sekelip mata, tetapi membangun dan memupuknya sukar dan mengambil masa yang panjang," katanya.

Omar berkata terdapat dua kemungkinan apabila sesuatu peperiksaan yang telah mantap dimansuhkan, pertama, ia akan "beranak" serta menghasilkan banyak ujian kecil bagi menggantinya, dan kedua, akan timbul gesaan supaya peperiksaan lama dihidupkan semula oleh golongan sama yang mendesak supaya ia dimansuhkan.

Katanya, PSM berpendapat Kementerian Pelajaran perlu meningkatkan ujian bilik darjah dan Lembaga Peperiksaan pula perlu menjalankan lebih banyak penyelidikan mengenainya, manakala latihan berterusan perlu diadakan bagi membolehkan guru meningkatkan keupayaan mereka membina, mentadbir dan menginterpretasi ujian. - BERNAMA

Artikel Lain