suria

Perjanjian Bernilai RM835 Juta Ditandatangani Bagi Program Pembangunan Di NCER

PUTRAJAYA: Empat perjanjian ditandatangani hari ini membabitkan nilai pelaburan berjumlah RM835 juta, bagi melaksanakan program pembangunan di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Perjanjian antara agensi kerajaan dan syarikat swasta itu bertujuan melaksanakan program pembangunan sosioekonomi yang mapan, mempertingkat nilai rantaian ekonomi secara menyeluruh menerusi pewujudan program ladang kontrak, serta peluang pekerjaan dan kesan limpahan ekonomi.

Ini selaras dengan peranan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) untuk menjana pertumbuhan ekonomi di NCER dan menggerakkan rantaian nilai bagi merapatkan jurang sosioekonomi di antara wilayah, kata NCIA dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, Isnin.

Majlis pertukaran dokumen perjanjian tersebut disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di pejabatnya di sini. Najib sebelum itu mempengerusikan mesyuarat NCIA kelima, di tempat yang sama.

Turut hadir Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd. Kadir, Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md. Isa Sabu dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Ketua Eksekutif NCIA Datuk Redza Rafiq, turut hadir.

Menurut NCIA, program pembangunan yang akan dilaksanakan itu meliputi projek akuakultur di Kedah, inisiatif antara NCIA, Jabatan Perikanan Negeri Kedah dan Progressive Ocean Sdn Bhd, yang membangunkan program menternak ikan dalam 800 sangkar, serta program akuakultur di Perak.

Ia membabitkan NCIA dan Ace Front Industries Sdn Bhd yang akan membangunkan kolam satelit udang putih di Sungai Kerang, Perak, yang diunjurkan menghasilkan 432 juta tan metrik udang putih setahun dengan nilai pasaran RM4.4 juta.

Selain itu, program pembangunan zon industri Pauh di Perlis, membabitkan usaha sama NCIA dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis, dan Pens Holdings Sdn Bhd dilantik sebagai kontraktor untuk membangunkan projek infrastruktur untuk Zon Industri Pauh.

Menurut NCIA, objektif program itu ialah untuk menyediakan infrastruktur yang lengkap dan terkini bagi menarik pelaburan ke Pauh dan memperluas pusat aktiviti industri pembuatan yang dilihat mempunyai potensi besar di Perlis dan NCER secara keseluruhannya.

Program pembangunan infrastruktur untuk melaksanakan ujian mikroprosesor di Pulau Pinang, usaha sama antara NCIA dan sebuah syarikat multinasional, Advanced Micro Devices Export Sdn Bhd (AMD) pula bertujuan menarik masuk pelaburan asing ke dalam negara serta meningkatkan industri semikonduktor di NCER. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain