POLIS menahan sepasang suami isteri bagi membantu siasatan berhubung kes dakwaan penderaan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang ditemui berkeliaran di luar deretan premis kedai di Nilai, Negeri Sembilan. Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahaya berkata, pasangan yang dipercayai ibu dan bapa tiri kanak-kanak itu, masing-masing dalam lingkungan usia 20-an, ditahan kira-kira pukul 2 petang Rabu.Menurutnya, polis turut merampas sebatang penyangkut baju dan kabel pengecas telefon bimbit daripada pasangan terbabit."Polis akan memohon perintah reman terhadap kedua-dua suspek pada Khamis bagi membantu siasatan," katanya.Johari berkata, kejadian terbongkar selepas seorang penghantar makanan menemui kanak-kanak itu berkeliaran di luar deretan kedai kira-kira pukul 5.30 petang Selasa sebelum menghubungi pihak polis."Kanak-kanak itu kemudian dibawa ke sebuah rumah di Desa Palma namun tiada sesiapa berada di rumah berkenaan."Pemeriksaan fizikal awal yang dijalankan oleh anggota polis mendapati terdapat kemungkinan wujud kesan penderaan," katanya.Tambah beliau, polis memperoleh nombor telefon ibu mangsa daripada jiran sebelum menghubunginya dan meminta wanita itu hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai untuk soal siasat.Katanya, bapa tiri mangsa hadir ke balai polis kira-kira pukul 1.40 pagi Rabu dan memaklumkan isterinya tidak sihat.Dalam pada itu, mangsa telah dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk pemeriksaan perubatan lanjut."Siasatan juga mendapati kanak-kanak berkenaan pernah menerima rawatan di sebuah hospital di Klang pada tahun 2020 akibat melecur terkena air panas," ujarnya.Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001. -The Star