suria

Ketulan Janin Ditemui Dalam Mangkuk Tandas Stesen Minyak

PELABUHAN KLANG: Satu ketulan darah sebesar tapak tangan yang dipercayai janin ditemui di dalam mangkuk tandas di sebuah stesen minyak di Pendamar Indah 2 di sini pagi tadi.

Janin itu ditemui kira-kira 7 pagi yang dipercayai sengaja dibuang di situ.

"Berdasarkan siasatan, kita percaya ketulan darah yang dipercayai janin itu dibuang antara tengah malam tadi dan awal pagi ini," kata Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop.

Beliau berkata, janin tersebut ditemui oleh penyelia stesen minyak berkenaan yang sebelum itu melihat beberapa kesan tompokan darah di laluan menuju ke tandas berkenaan.

"Pemeriksaan polis di tandas berkenaan turut menemui satu tulisan yang ditulis dengan darah dalam bahasa Tamil yang berbunyi "Sumayya" pada dinding tandas itu," katanya.

Mohamad berkata, berdasarkan imej yang dirakamkan oleh kamera litar tertutup di stesen minyak tersebut, polis telah mengesan pasangan yang kelihatan memasuki tandas berkenaan.

Ketulan darah itu telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah. - BERNAMA

Artikel Lain