suria

99 Peratus Projek KDN Dalam RMK-9 Berjaya Dilaksanakan

KUALA LUMPUR: 95 peratus daripada keseluruhan 423 projek Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) berjaya dilaksanakan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Abu Seman Yusop berkata, daripada jumlah itu, 11 projek atau 2.6 peratus dikategori sebagai projek sakit.

Beliau berkata, bagi projek sakit itu, kementerian telah mengambil langkah pemulihan dengan melantik kontraktor penyiap yang sebahagian besarnya telah memulakan kerja.

"KDN berbangga bahawa RMK-9 telah dilaksanakan dengan jaya dan dengan itu berharap dapat memasuki RMK-10 dengan lebih yakin," katanya pada sidang media di bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Abu Seman berkata, bagi projek bukan fizikal seperti membeli kelengkapan persenjataan, pengangkutan termasuk kapal terbang Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang melibatkan 180 perolehan juga telah hampir selesai seluruhnya. "Daripada 180 projek bukan fizikal sebanyak 91 peratus telah diselesaikan, manakala baki sembilan peratus atau 18 jenis perolehan dijangka diselesaikan menjelang akhir tahun ini," katanya.

Beliau berkata, bagi RMK-10 kementerian mempunyai perancangan untuk melaksanakan 552 projek fizikal dan bukan fizikal yang melibatkan peruntukan RM7.7 bilion.

Abu Seman berkata, selain daripada melaksanakan projek secara konvensional, kementerian sedang berbincang dengan agensi pusat bagi melaksanakannya secara 'fast track'.

"Melalui kaedah ini, diharapkan projek fizikal dapat dilaksana dengan lebih cepat dan di samping itu dapat mengurangkan projek sakit," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain