suria

64 Pati Thailand Dan Kemboja Ditahan Imigresen Kedah

ALOR SETAR: Seramai 64 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dari Thailand dan Kemboja ditahan penguatkuasa Jabatan Imigresen Kedah dalam operasi Ops Kutip yang dibuat di dua kampung iaitu Kampung Apil dan Felda Bukit Tembaga dekat Kuala Nerang awal pagi tadi.

Ketua Penguatkuasa Imigresen Kedah Nar Azaman Ibrahim berkata operasi itu dilakukan selepas seminggu membuat risikan hasil daripada laporan penduduk kedua-dua kampung tersebut.

"Operasi yang dilakukan selama empat jam iaitu dari pukul 1 pagi dan berakhir kira-kira pukul 5 pagi tadi telah berjaya menahan 42 PATI lelaki, 19 perempuan, dua kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata kesemua mereka yang ditahan berumur dari sembilan bulan hingga 43 tahun dan bekerja sebagai penoreh getah.

"Mereka akan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia melebihi tempoh dan tidak mempunyai permit yang sah," katanya.

Nar Azaman berkata semua yang ditahan akan dibawa ke Depo Tahanan di Belantik, Sik sebelum dihantar pulang ke negara masing-masing.

"Kami akan meneruskan tangkapan bagi membanteras PATI kerana kehadiran mereka akan menjejaskan peluang pekerjaan penduduk tempatan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain