suria

JPAM Sasar Ambil 100,000 Anggota Sukarelawan Setiap Tahun

SEREMBAN: Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) mensasarkan pengambilan sekurang-kurangnya 100,000 anggota sukarelawan setiap tahun, kata Ketua pengarahnya Datuk Abdul Halim Abdul Hamid.

Beliau berkata pada masa ini dianggarkan 80,000 anggota sukarelawan JPAM di seluruh negara.

"Kita perlukan lebih ramai anggota sukarelawan bagi menjalankan tugas dengan lebih cekap dan berkesan," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan JPAM Negeri Sembilan di sini, hari ini. Turut hadir ialah pengarah JPAM Negeri, Mat Zin Bujang.

Sementara itu, Abdul Halim berkata masih terdapat ruang untuk penambah baikan berhubung pembabitan anggota sukarelawan di kalangan pekerja sektor swasta.

Beliau berkata majikan terutamanya yang terbabit dalam operasi pengilangan disaran mengambil inisiatif menubuhkan pasukan tindak balas kecemasan pertahanan awam di premis masing-masing.

"Sebahagian syarikat swasta mungkin kurang berminat melaksanakan inisiatif berkenaan kerana ia melibatkan kos dan perlu menghantar pekerja mengikuti latihan. Kita tidak boleh paksa pihak majikan menubuhkannya, namun, sekiranya mereka berminat, JPAM sentiasa bersedia membantu," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata JPAM melakukan pembaharuan dalam program Siswa Siswi Pertahanan Awam (Sispa) bagi menarik lebih ramai sukarelawan di kalangan penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara.

Katanya program berkenaan menawarkan jam kredit kepada anggota Sispa dan pangkat Leftenan (sukarelawan) setelah mengikutinya selama empat semester.

"Tiga IPTA iaitu Universiti Teknologi Mara (Kampus Induk Shah Alam), Universiti Malaysia Sabah dan Universiti Malaysia Terengganu menyertai program itu menerusi kerjasama JPAM dan Kementerian Pengajian Tinggi.

"Saya meminta JPAM di setiap negeri mencadangkan program ini kepada semua IPTA di kawasan masing-masing agar ia dapat diperluaskan," kata Abdul Halim.

Menurutnya inisiatif itu untuk menjadikan Sispa setanding dengan program-program badan beruniform lain di IPTA seperti Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) dan Kursus Pegawai Kehormat Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (Kor Suksis). - BERNAMA

Artikel Lain