suria

Warga Tentera Perlu Berani Lakukan Transformasi, Kata Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan menyarankan agar warganya lebih berani melakukan transformasi agar perkhidmatan yang disalurkan kepada rakyat lebih efektif, kata menterinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata langkah itu perlu supaya seiring dalam melahirkan warga kerja yang berkualiti dan tidak gentar berhadapan dengan sebarang perubahan yang dilaksanakan oleh kerajaan.

"Mengharungi proses transformasi ini, menuntut anggota perkhidmatan awam untuk menjadi lebih kreatif dan inovatif.

"Saya menyeru anda semua untuk membuka minda, berfikir diluar kotak pemikiran sedia ada dan lari dari budaya biasa sama ada dalam pelaksanaan kerja mahupun dalam menjalani kehidupan harian," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian anugerah khidmat cemerlang Kementerian Pertahanan, hari ini.

Ahmad Zahid berkata sebagai organisasi pertahanan negara, warga kementerian seharusnya membina dan memperkukuhkan keyakinan rakyat terhadap aspek kestabilan, keamanan serta keselamatan bagi membantu negara ke arah mencapai aspirasi Wawasan 2020. Sementara itu, seramai 10,206 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan 1,127 penjawat awam telah menerima anugerah perkhidmatan cemerlang.

Antara penerima anugerah itu ialah Brig Jen Datuk Zulkifli Mansor daripada Markas 2 Briged, Tentera Darat serta Pegawai Tadbir dan Diplomatik Utama Datuk Abdullah Kassim.

Kesemua mereka menerima sijil perkhidmatan cemerlang dan hadiah prestasi sebanyak RM1,000.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Dr Abd Latiff Ahmad dan Panglima ATM Tan Sri Datuk Seri Azizan Ariffin. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain