suria

12 Sukarelawan Wira Negara - Najib

Najib bergambar sambil mendukung adik Nur Nuhasakinah Noorazman (tengah) pada majlis menyambut ketibaan wira-wira sukarelawan bantuan kemanusiaan ke Gaza di kediamannya di Jalan Duta, di sini hari ini. Turut kelihatan Anifah (empat, kiri) dan Noorazman (lima, kiri). Foto BERNAMA
Najib bergambar sambil mendukung adik Nur Nuhasakinah Noorazman (tengah) pada majlis menyambut ketibaan wira-wira sukarelawan bantuan kemanusiaan ke Gaza di kediamannya di Jalan Duta, di sini hari ini. Turut kelihatan Anifah (empat, kiri) dan Noorazman (lima, kiri). Foto BERNAMA
Najib bergambar sambil mendukung adik Nur Nuhasakinah Noorazman (tengah) pada majlis menyambut ketibaan wira-wira sukarelawan bantuan kemanusiaan ke Gaza di kediamannya di Jalan Duta, di sini hari ini. Turut kelihatan Anifah (empat, kiri) dan Noorazman (lima, kiri). Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Malaysia semalam mengiktiraf 12 sukarelawan yang ditawan Israel bersama kapal Mavi Marmara Isnin lalu sebagai wira negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kata beliau, apa yang dilakukan dan peristiwa penahanan kesemua mereka itu telah membuka mata dunia tentang kekejaman rejim Tel Aviv yang selama ini rakyat Malaysia hanya saksikan melalui televisyen.

"Apa yang dilakukan oleh sukarelawan ini telah membuka mata dunia atas kekejaman rejim Tel Aviv yang sememangnya sebelum ini rakyat Malaysia tidak pernah lalui.

"Lepas peristiwa ini, sekurang-kurangnya 12 rakyat Malaysia ini merupakan kumpulan yang boleh menyatakan melalui pengalaman mereka sendiri betapa zalimnya dan tanpa sebarang perasaan perikemanusiaan ataupun belas kasihan antara manusia sesama manusia sanggup melakukan perbuatan yang boleh kita sifatkan sebagai perbuatan keganasan sebenarnya," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menyambut kepulangan para sukarelawan terbabit di kediaman beliau di Jalan Langgak Duta di sini yang sebelum itu tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur awal pagi semalam dari Istanbul, Turki.

Turut hadir ialah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk T. Murugiah dan Datuk Ahmad Maslan.

Rakyat Malaysia yang berada di atas kapal Mavi Marmara ialah Ketua Misi Life Line For Gaza (LL4G), Noorazman Mohd Samsuddin; wartawan Astro Awani, Ashwad Ismail; Shamsulkamal Latip (jurukamera Astro Awani); Jamuliddin Alias (Yayasan Amal); Dr. Selamat Aliman (Jemaah Islah Malaysia); Abdul Halim Mohamed Redzuan (Muslim Care); Mustafa Mansor (Majlis Perundingan Islam Malaysia) dan Hasanuddin Mohd. Yunus (Aqsa Sharif).

Turut sama, empat anggota Haluan iaitu Dr. Arbain Syawal, Ir. Mohd. Nizam Mohd. Awang, Dr. Syed Muhd. Haleem Syed Hassan serta Alhami Hussain Suhaimi.

Dalam pada itu Najib menganggap kejadian penahanan tersebut sebagai satu kemenangan moral yang besar kepada negara dan rakyat keseluruhannya.

Kata beliau, insiden itu telah mencetuskan satu kesedaran di dunia hari ini mengenai kekejaman rejim Israel sehinggakan negara Yahudi itu dikutuk oleh masyarakat dunia termasuk Amerika Syarikat.

"Tentu sekali apa yang dilalui mereka bukan saja menyayat hati tetapi akan membuka mata rakyat Malaysia dan dunia terhadap kekejaman rejim Zionis terhadap rakyat Palestin yang selama ini kita baca dan kita tengok melalui kaca televisyen.

"Apabila sejarah ini ditulis nanti tentu sekali sukarelawan ini dan kumpulan lain serta kerajaan Malaysia dan rakyat akan dapat dikatakan sebagai sebahagian daripada dunia yang telah menggerakkan kesedaran dunia untuk memperjuangkan sesuatu yang tidak adil sama sekali selama ini," katanya.

Dalam pada itu beliau menyatakan kelegaannya di samping amat menantikan kepulangan para sukarelawan itu.

"Terima kasih kepada Datuk Seri Anifah Aman atas kejayaan misi membawa balik sukarelawan kita dan terima kasih kepada kerajaan Jordan dan pihak-pihak lain yang membantu sukarelawan-sukarelawan kita," katanya.

Najib berkata kerajaan akan membantu dengan apa cara sekalipun dan tidak akan lari daripada apa yang boleh disumbangkan supaya perjuangan untuk menegakkan kebebasan, keadilan dan hak asasi manusia tercapai.

"Sebab itulah kita akan ambil tindakan melalui usul yang kita akan bawa pada pagi esok di Parlimen dan saya telah menyatakan bahawa saya tidak mahu kita terhenti dengan usul di Parlimen yang mengutuk regim Zionis itu sahaja.

"Tetapi kita hendak tindakan susulan dalam apa jua bentuk sekalipun supaya rejim Israel sedar bahawa apa yang mereka lakukan itu tidak boleh diterima oleh dunia atas prinsip kemanusiaan dan atas prinsip menghormati undang-undang antarabangsa," katanya.

Perjuangan untuk membantu rakyat Palestin akan diteruskan biarpun berapa lama supaya rakyat negara itu akan hidup dalam keadaan aman dan bebas sebagai rakyat dalam sebuah negara yang berdaulat pada satu hari nanti, katanya.

Beliau berkata, Israel sepatutnya bukan sahaja meminta maaf tetapi membayar ganti rugi kepada pihak yang menjadi mangsa terhadap keganasan mereka termasuk sembilan orang yang terbunuh pada insiden Isnin lepas.

Perdana Menteri berkata serangan oleh tentera Israel itu jelas merupakan tindakan pencerobohan dan keganasan dan contoh sebenar bentuk keganasan yang dilakukan oleh rejim Israel.

"Lebih-lebih lagi kumpulan dalam kapal ini (Mavi Marmara) tidak membawa sebarang senjata tetapi telah diserang dengan cara yang tidak ada rasa kemanusiaan sama sekali dengan menembak menggunakan senjata dari jarak dekat.

"Ini ialah satu pembunuhan kejam yang dilakukan pasukan komando yang telah diarahkan oleh rejim Tel Aviv itu," katanya.

Pada majlis itu, Ahmad turut mengumumkan sumbangan daripada badan-badan korporat sebanyak AS$5,000 (RM16,515) masing-masing kepada keluarga sembilan sukarelawan asing yang terbunuh dalam kejadian itu.

Artikel Lain