suria

Zulhasnan Cadang Tukar Status Hak Milik Tanah Kampung Baru

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulhasnan Rafique hari ini mencadangkan agar kerajaan menukar status hak milik tanah penduduk Kampung Baru kepada status pajakan.

"Ia bagi meningkatkan nilai hartanah serta memberi pulangan berkekalan kepada orang Melayu di Kampung Baru," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata cadangan tersebut adalah alternatif kepada pilihan sebelum ini iaitu pengambilalihan tanah oleh kerajaan pada suatu harga yang dipersetujui pemilik tanah atau berdasarkan nilaian semasa harga tanah.

"Pajakan boleh dibuat selama 25, 30, 60 atau 99 tahun mengikut keperluan pembangunan dan institusi kewangan," katanya.

Bagaimanapun, beliau yang juga Anggota Parlimen Setiawangsa berkata, beberapa syarat perlu dikenakan terlebih dahulu bagi mengelak syak wasangka pemilik.

"Antaranya adalah, tanah hanya dapat dipajak kepada pihak yang akan membangunkan Kampung Baru di mana dengan ini isu pemilikan tanah tidak akan timbul selepas tamat tempoh pajakan, kerana ianya akan dikembalikan kepada pemilik asal," katanya. Zulhasnan juga menyokong cadangan kerajaan untuk menubuhkan Perbadanan Kampung Baru bagi memastikan pihak yang menguruskan pembangunan di kawasan berkenaan mampu melaksanakannya dengan berkesan. "Yang penting adalah menjaga kepentingan semua pemilik tanah dan memastikan serta menjamin tanah keramat ini akan terus kekal di tangan orang Melayu, walaupun selepas dibangunkan," tegasnya. - BERNAMA

Artikel Lain