suria

Lewat Bayar Saman Akan Dikenakan Penalti

MELAKA: Pesalah jalan raya yang lewat membayar saman bakal dikenakan penalti selain tiada diskaun terhadap saman dikenakan, kata Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Solah Mat Hassan.

Beliau berkata kadar penalti yang akan dikenakan itu akan diumumkan selepas mendapat kelulusan daripada jemaah menteri.

"Kita telah sediakan kertas kerja mengenai konsep baru ini dan akan dibentangkan kepada jemaah menteri untuk kelulusan dalam tempoh masa terdekat ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JPJ di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh dekat sini, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 585 anggota dan pegawai JPJ dari seluruh negara menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2009.

Solah berkata melalui konsep baru itu, lagi lama seseorang pesalah jalan raya menangguhkan pembayaran saman maka lagi banyak jumlah penalti akan dikenakan.

"Biasanya orang yang kena saman mengambil masa untuk selesaikan saman. Kadang kala mereka menunggu adanya tawaran diskaun," katanya.

Beliau berkata konsep baru itu diperkenalkan berikutan nilai tunggakan bayaran saman kira-kira RM16.9 juta bagi tempoh 2000 hingga 2008.

Dalam perkembangan lain, Solah berkata pemandu kenderaan dari Thailand bersetuju untuk mematuhi peraturan bagi memasuki negara ini termasuk yang ditetapkan oleh JPJ, Kementerian Pelancongan dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP).

Beliau berkata JPJ akan menjalankan penguatkuasaan secara berterusan terhadap kenderaan Thailand yang gagal mematuhi peraturan termasuk ketiadaan permit atau menyalahgunakan permit diberikan.

"Pada tahun lepas, JPJ mengeluarkan lebih 98,000 ICP (International Circulation Permit) kepada kenderaan Thailand untuk tujuan lawatan sosial sahaja, ini menunjukkan sebahagian besar pemandu Thai memahami peraturan ICP itu," katanya berhubung perkembangan isu van dan bas Malaysia membawa pelancong diarah berpatah balik oleh sekumpulan pengusaha pelancongan Thailand di Danok, sempadan Malaysia/Thailand, dekat Bukit Kayu Hitam sejak 7 Mei lepas.

Akhbar melaporkan, kumpulan itu mendirikan khemah di tepi jalan, kira-kira satu kilometer dari Kompleks Imigresen Thailand di Danok, didakwa mengambil tindakan itu sebagai protes terhadap tindakan JPJ yang menyaman kenderaan Thailand yang membawa masuk pelancong ke negara ini tanpa permit sejak dua bulan lepas.

Akibat tindakan itu, pelancong terpaksa menyewa bas dan van di negara itu dengan harga tinggi untuk meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing. - BERNAMA

Artikel Lain