suria

Annuar Zain Berjaya Dapatkan Royalti Album

KUALA LUMPUR: Selepas empat tahun menunggu, akhirnya penyanyi Annuar Zain hari ini berjaya mendapatkan royalti daripada syarikat rakaman Syncrosound Records Label Music Sdn Bhd (Syncrosound).

Bagaimanapun jumlah ganti rugi yang perlu dibayar akan ditafsirkan kemudian oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

Hakim Mahkamah Tinggi Dr Prasad Sando Sham Abraham membuat keputusan itu setelah mendengar hujahan kedua-dua pihak dan mendapati syarikat rakaman itu tidak lagi beroperasi dan tiada lagi pekerja.

Ketika prosiding peguam Max Yong, yang mewakili syarikat itu, berkata pihaknya tidak mempunyai rekod penyata akaun penjualan kesemua album Annuar.

Apabila ditanya oleh Hakim Prasad sama ada Annuar boleh menyediakan maklumat mengenai penjualan album, peguam Aizul Rohan Anuar yang mewakili penyanyi itu berkata: "Beliau juga tidak mempunyai penyata, tetapi boleh cuba mendapatkannya menerusi syarikat rakaman Universal Music yang ketika itu (2001 hingga 2006) menjadi pengedar album."

Pada 20 Jun 2006, Annuar atau nama sebenarnya Shahrul Annuar Zain, 40, membuat tuntutan balas terhadap syarikat rakaman itu dan memohon diberikan butiran atau penyata mengenai penjualan kesemua album yang diterbitkan dan memohon diberi bayaran royalti bagi kesemua album seperti yang diperuntukkan dalam perjanjian.

Beliau juga menuntut faedah lapan peratus atas jumlah pembayaran album itu daripada writ saman sehingga penyelesaian penuh dan muktamad, iaitu pada 21 April 2006.

Sebelum ini Syncrosound memfailkan saman terhadap Annuar berhubung rakaman album tetapi pada 27 Dis 2007, Mahkamah Tinggi membatalkan writ saman dan pernyataan tuntutan tersebut.

Syarikat rakaman itu menuntut ganti rugi kerana mendakwa Annuar melanggar perjanjian kontrak rakaman bertarikh 23 Feb 2001 apabila menamatkan kontrak tanpa merakamkan tiga album lagi dengan syarikat itu.

Bagaimanapun menerusi tuntutan balas terhadap Syncrosound, Annuar mendakwa, beliau menyerahkan notis penamatan kontrak pada 11 Sept 2004 untuk mengelak kekeliruan dan salah faham bahawa perjanjian antara beliau dan Syncrosound masih berkuat kuasa.

Katanya perjanjian itu hanya mempunyai tempoh selama 12 bulan dan ia memberi pilihan kepada Syncrosound untuk melanjutkan tempoh itu tertakluk kepada syarat bahawa notis lanjutan haruslah diberikan kepada beliau dua bulan sebelum tamat tempoh.

Sepanjang tempoh perjanjian dengan Syncrosound, kata Annuar, beliau terlibat dalam dua buah album tetapi syarikat itu tidak pernah memberikan sebarang butiran atau penyata mengenai penjualan album itu seperti yang ditetapkan dalam perjanjian.

Katanya sejak tarikh perjanjian pada 23 Feb 2001 sehingga tarikh tuntutan balas dan pernyataan pembelaan difailkan, beliau hanya menerima pembayaran royalti hasil penjualan kesemua album dengan Syncrosound sebanyak RM2,000.

Di luar mahkamah Annuar memberitahu pemberita bahawa beliau bersyukur kerana ia akhirnya selesai selepas menunggu selama empat tahun.

Beliau menasihatkan artis baru supaya berhati-hati serta mengambil khidmat peguam sebelum menandatangani sebarang kontrak dengan syarikat rakaman.

Annuar berkata album yang terlibat dalam kes itu adalah satu album solo dan beberapa album kompilasi bersama artis-artis lain. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Wee Choo Keong Keluar PKR

Artikel Lain